ARCA aluminium berkonsepkan pergerakan. FOTO Salhani Ibrahim
ARCA aluminium berkonsepkan pergerakan. FOTO Salhani Ibrahim
Aniza Zainudin


TAHAP kebergantungan tinggi masyarakat dunia hari ini terhadap penggunaan gajet terutama telefon pintar yang menjadi akses kepada pelbagai lapangan nyata memberi inspirasi kepada artis arca, Aznan Omar untuk menghasilkan karya bagi menterjemahkan interaksi berkenaan.

Sempena pameran solonya, Manusia dan Gajet di Balai Seni Negara, Aznan menggambarkan fenomena gaya hidup dan interaksi antara manusia serta mesin menerusi 22 karya arca yang didominasi material aluminium.

Menurut Aznan, siri karya seni arca ini adalah interpretasi semula trend masyarakat berkenaan pengalaman gaya hidup seharian pengguna menerusi elemen interaksi sosial, tingkah laku dan obsesi terhadap alat teknologi mudah alih.

“Arca dihasilkan bukanlah sindiran terhadap gaya hidup kita hari ini, sebaliknya ia menjadi biasan terhadap perkara yang dilakukan seharian tanpa kita menyedarinya.

INGIN mengajak pengunjung berfikir. FOTO Salhani Ibrahim
INGIN mengajak pengunjung berfikir. FOTO Salhani Ibrahim

“Karya ‘Non Face to Face’ umpamanya menunjukkan sekumpulan manusia berada berdekatan, namun ia tidak disedari kerana fokus lebih tertumpu pada gajet, sekali gus tidak berlaku komunikasi lisan antara mereka.

“Situasi ini adalah pemandangan biasa yang kita boleh perhatikan hari ini. Hubungan manusia lebih tertumpu kepada telefon, hingga ia boleh mengakibatkan generasi muda hilang kemahiran berkomunikasi secara berdepan.

“Karya Interaksi Bawah Meja turut menjadi cerminan hari ini yang sering berlaku dalam bermesyuarat. Ia menggambarkan figura berada di meja bulat, namun masing-masing sibuk dengan aktiviti menggunakan telefon pintar.

“Bukan hanya komunikasi lisan yang berlaku, bahkan seiring dengan ‘perbualan’ secara virtual turut berlangsung di bawah meja mengikut pilihan individu berkenaan.

“Arca dinding Pokemon Go pula diilhamkan daripada kegilaan masyarakat terhadap permainan animasi sebelum ini. Arca ini dibentuk kepada beberapa lapisan untuk menghasilkan gerakan dengan motif tersendiri.

“Apabila arca ini disatukan barulah penyampaian pelbagai mesej dan elemen dapat difahami. Setiap lapisan arca ini mencerminkan perilaku dan perbuatan manusia bersama gajet,” katanya yang juga pensyarah kanan Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara itu.

ANTARA arca dinding. FOTO Salhani Ibrahim
ANTARA arca dinding. FOTO Salhani Ibrahim

MEMILIH aluminium sebagai material utama arca. FOTO Salhani Ibrahim
MEMILIH aluminium sebagai material utama arca. FOTO Salhani Ibrahim

Kini sedang sibuk menghabiskan pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD), Aznan mengakui siri karyanya adalah hasil daripada kajian berkenaan bidang seni arca dimulakan sejak 2014.

Jelasnya, kajian ini membabitkan tiga isu utama seperti interaksi manusia dengan alat teknologi mudah alih membabitkan penerokaan karya dari sudut amalan, tingkah laku dan obsesi pengguna dalam menjalankan aktiviti komunikasi digital.

Kedua, ia juga berkenaan perkongsian sosial membabitkan gaya hidup berswafoto sebelum dimuat naik ke laman media sosial hingga mewujudkan isu tular. Selain itu, aktiviti tunafoto juga dijadikan tema dalam kajian ini.

Terakhir, karya ini juga fokus pada penerokaan gaya hidup berhibur melalui hiburan digital seperti mendengar muzik atau bermain permainan digital mudah alih termasuk Smule, TikTok dan sebagainya.

Memilih aluminium sebagai material utama bagi penghasilan arca, Aznan melihat ia bersesuaian kerana bahan itu memiliki kaitan rapat dengan teknologi berkenaan.

Jelasnya, aluminium antara medium yang digunakan dalam penghasilan gajet atau telefon pintar. Selain itu, ia juga lebih ringan dan mudah dikendalikan berbanding material besi kerana arca berkenaan dipotong secara manual oleh Aznan sendiri.

KARYA Aznan terhasil daripada kajian PhD. FOTO Salhani Ibrahim
KARYA Aznan terhasil daripada kajian PhD. FOTO Salhani Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 12:33 PM