Mohd Azrone Sarabatin

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kantan, Kajang, Selangor, Luqman Haikal Mustakim, 12, dinobatkan penerima Anugerah Bintang PETAH iaitu seni pengucapan awam alaf baharu dalam bahasa Melayu anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur.

Kejayaan itu berikutan karisma Luqman Haikal muncul juara keseluruhan tiga kategori iaitu Studio Bicara Tuntas, Studio Bual Cerita dan Studio Bicara Interaktif dianjurkan di studio PETAH IPGKIK, baru-baru ini.

Bagi kategori Studio Bicara Tuntas, murid SK Jalan Empat, Bangi, M Irsyad Ikhwan M Nasir muncul juara; naib juara, murid SK Sungai Ramal Dalam, Kajang, Rabiatul Adawiah Abdul Qahar dan ketiga, murid SK Dusun Tua, Hulu Langat, Muhsin Khalili Ibrahim.

LUQMAN Haikal (kiri) dinobatkan penerima Anugerah Bintang PETAH.
LUQMAN Haikal (kiri) dinobatkan penerima Anugerah Bintang PETAH.

Kategori Studio Bual Cerita pula diungguli trio murid SK Bandar Seri Putra, Bangi, Nas Nadine Nabeeha Nasrudin, Marsya Qisteena Jaysri dan Aimi Najla Yusnizam; kedua, gandingan murid SK Convent, Kajang iaitu Nur Aleefa Antasha M Bakri, Zafeerah Rizal Rizwan dan Nor Irdina Marissa M Bakri serta ketiga gabungan murid SK Taman Puteri, Cheras, Selangor iaitu Tengku Sarah Aisyah Tengku Asmadi, Nurul Husna Mohd Noor dan Sneha Kaur Sunil Sharma.

Studio Bicara Interaktif pula, SK Sungai Kantan yang menggabungkan pasangan Luqman Haikal dan Zaref Affandi muncul juara, tempat kedua murid SK Convent, Kajang iaitu Nashley Dinesh dan Harini Alagesan serta ketiga, murid SK Menjalara, Kuala Lumpur, Amernursaadah Minhad dan Faqihah Mohd Iqbal.

M Irsyad muncul juara kategori Studio Bicara Tuntas PETAH.
M Irsyad muncul juara kategori Studio Bicara Tuntas PETAH.

PETAH mendidik murid sekolah rendah berusia 10 hingga 12 tahun melontarkan idea bernas dan spontan, personaliti memukau, berkeyakinan diri tinggi dan bijak mematahkan hujah lawan selain membuat persembahan setanding pelajar sekolah menengah.

PETAH adalah program seni pengucapan awam alaf baharu dalam bahasa Melayu yang dicipta untuk membentuk kemenjadian murid dalam kepetahan dan kelancaran berkomunikasi di khalayak ramai.

Program peringkat kebangsaan itu bermula dengan bimbingan seni pengucapan awam dari Studio PETAH, iaitu Bicara Tuntas (seni pembentangan), Bual Cerita (seni bercerita) dan Bicara Interaktif (seni pengacaraan).

Timbalan Pengarah IPGKIK Dr Norherani Moning berkata PETAH berupaya menjadi platform membentuk kemenjadian murid dalam berkomunikasi sejajar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025).

Katanya, kemenjadian berkenaan termasuk kelancaran berbahasa Melayu aras tinggi, keterampilan, personaliti, di samping memupuk sifat kepemimpinan, keberanian dan keyakinan diri khususnya ketika berucap di khalayak ramai.

SHAARI (barisan belakang, tengah) bersama Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas Dr Norherani Moning (belakang kanan) dan Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Hubungan Luar, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Tengku Adli Raja Omar (belakang kiri ) serta pemenang PETAH di IPG Kampus Khas, Cheras Kuala Lumpur.
SHAARI (barisan belakang, tengah) bersama Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas Dr Norherani Moning (belakang kanan) dan Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Hubungan Luar, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Tengku Adli Raja Omar (belakang kiri ) serta pemenang PETAH di IPG Kampus Khas, Cheras Kuala Lumpur.

“PETAH sangat relevan dengan peranan institut ini sebagai hab pengucapan awam Institut Pendidikan Guru (IPG). Peserta dibimbing dengan pelbagai kemahiran dalam kategori PETAH oleh pensyarah pakar dan dibantu siswa guru sebagai pemudahcara. IPGKIK adalah pusat rujukan dan hab aktiviti perdebatan serta pengucapan awam bagi IPG,” katanya.

Sejumlah 190 peserta seluruh negara menyertai PETAH yang julung-julung kali dianjurkan oleh IPGKIK dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan.

Majlis Perasmian Penutupan PETAH dan penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Shaari Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 2:15 PM