Hafiz Ithnin


Meluncur sambil mengikut rentak pelbagai irama lagu yang berkumandang, tanpa peduli kebarangkalian terjatuh mahupun cedera ketika beraksi. Meluncur dan terus meluncur sehingga tiba di suatu titik dirasakan sesuai untuk beraksi, badan dilentur dengan penuh teliti. Hasilnya, sebuah persembahan yang cukup mengagumkan.

Pemilik nama Aina Sorfina Mohd Aminudin, 18, atau lebih mesra di sapa Aina adalah atlet luncur ais berirama Malaysia yang turut bertanding dalam Kejohanan Sukan SEA 2017.

Namanya kini meningkat naik memandangkan dia antara yang mempunyai potensi untuk digilap bagi mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia. Malah, ketika ini, anak muda itu juga dalam usaha mendapatkan kelayakan bagi kejohanan di peringkat dunia.

Aina yang kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan perakaunan, pada tahun lalu juga berjaya menempah nama di kedudukan ke-16 daripada 24 peserta dalam Kejohanan Musim Sejuk Asia di Jepun pada tahun lalu.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam sukan luncur ais berirama, Aina berkata, pada usia lapan tahun dia mula belajar meluncur dan tidak pernah menyangka akan sampai ke tahap sekarang bergelar atlet Malaysia.

“Ketika berusia lapan tahun saya menyertai aktiviti kokurikulum dalam luncur ais. Saya mula menjadi atlet Malaysia pada usia 13 tahun untuk mewakili negara dalam satu kejohanan di Hong Kong.

“Bagi saya, meluncur ais adalah aktiviti yang sentiasa mencabar diri dan tidak membosankan kerana dalam setiap disiplin yang dipertandingkan mempunyai skil tersendiri serta perlu dipelajari dari semasa ke semasa,” katanya.

AINA bakat muda dalam sukan luncur ais negara.
AINA bakat muda dalam sukan luncur ais negara.

Tambahnya, setakat ini dia sudah menyertai antara 20 hingga 30 kejohanan di peringkat antarabangsa bagi mewakili Malaysia dan sentiasa memburu peluang baru bagi meningkatkan skil serta kedudukannya.

“Sepanjang saya terbabit dalam sukan ini, pernah juga melalui pengalaman yang sukar apabila tercedera di bahagian belakang dan mengalami masalah cakera tergelincir. Lebih menyedihkan kejadian itu berlaku selepas berjaya melayakkan diri sebagai calon dalam satu kejohanan pada 2015.

“Akibat kecederaan itu, saya perlu berehat selama empat bulan untuk pulih dan ia menjadi kisah yang tidak dapat saya lupakan sehingga hari ini. Jadi, kini saya lebih berhati-hati ketika berlatih,” katanya.

Aina berkata, dia berlatih enam kali seminggu termasuk latihan kecergasan di gimnasium dan sentiasa menjaga berat badannya supaya dapat mengawal keseimbangan badan ketika beraksi.

“Saya ingin meneruskan kerjaya dalam sukan ini selagi saya boleh beraksi. Pada masa sama, saya juga amat mementingkan akademik kerana ia juga penentu masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 10:50 AM