Oleh Wahi Aziz


Penyampai radio Fizie mengakui kerjayanya semakin baik dan stabil selepas empat tahun bersama radio Hot FM.

Ketika ditemui pada sesi percutian singkat Fly Hot Media Chill Out La! di Janda Baik, Pahang baru-baru ini, pemilik nama penuh Mohamad Hafizie Roslan menzahirkan rasa bersyukur dengan perkembangan positif yang dikecapinya sejak mengendalikan segmen AM Krew pada Februari 2014. Sebelum itu dia bertugas dengan Hot FM Kelate.

Jejaka berusia 28 tahun ini berkata, tiada yang lebih melegakan selain penerimaan memberangsangkan pendengar.

“Tahun pertama menggantikan Faizal Ismail tidak dinafikan saya sering dibandingkan dengannya.

“Lama-kelamaan orang mula nampak identiti dan kebolehan saya. Penerimaan semakin baik dan syukur saya mendapat tempat di hati pendengar,” kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

Perkembangan gembira itu bagaimanapun bukan alasan untuknya berasa selesa dengan apa yang ada sebaliknya sedar perlu memperkemaskan lagi banyak perkara termasuk gaya penyampaian.

“Walaupun sudah 10 tahun dalam bidang ini, banyak lagi ilmu penyiaran radio yang perlu saya pelajari.

“Terutama dalam dunia serba moden dan kuasa media sosial yang semakin meluas, penyampaian radio juga perlu berubah agar terus relevan,” katanya.

Berkongsi pandangan mengenai populariti, Fizie berkata ia subjektif, terpulang kepada pendengar untuk menentukan.

“Soal popular dan menonjol, saya tidak berani ulas kerana ia terpulang pada penilaian pendengar.

“Fokus saya lebih kepada kerja. Kena jaga momentum agar ada peningkatan dari semasa ke semasa.

“Insya-Allah kalau menjaga semua itu, pendengar akan menyenangi cara kita.

“Bagi saya, biar lawak atau seriuh manapun kita di konti, asas seorang penyampai radio adalah menyampaikan maklumat kepada pendengar. Bab itu kena jaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 5:01 AM