GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Jakarta: Gabenor ibu negara Indonesia Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok semalam menafikan dia memberi kebenaran kepada syarikat kongsi kereta Uber untuk beroperasi di bandar raya ini.

“Uber masih diharamkan beroperasi di sini,” kata Ahok.

Dia mengulas kenyataan yang dibuat syarikat berkenaan Selasa lalu.

Dalam kenyataannya itu, Uber berkata, Ahok mengambil keputusan mengiktiraf secara rasmi operasi Uber bagi menyediakan lebih banyak pilihan pengangkutan kepada orang awam atas dasar persaingan sihat dan adil.

Menurut Ahok, dia tidak pernah berkata demikian.

“Saya menafikan kenyataan Uber. Kita tidak boleh membenarkan Uber beroperasi. Saya kecewa dengan tindakan mereka. Saya mempelawa mereka untuk berbincang tetapi mereka membuat kenyataan lain.

“Jika Uber masih beroperasi, tangkap saja mereka,” kata gabenor itu.

Ahok juga memberitahu wartawan, serbuan terhadap pemandu Uber di Jakarta akan diteruskan.

Ahok sebelum ini didakwa mendesak syarikat yang berpejabat di San Francisco itu memastikan ia memenuhi semua syarat yang ditetapkan pihak berkuasa Jakarta, termasuk mendaftarkan diri dengan Lembaga Penyelarasan Pelaburan selaku syarikat pelaburan dan memastikan kenderaannya sentiasa diselenggara dengan baik serta pemandunya disaring sebelum ia boleh beroperasi dengan sah.

Menurut Uber, syarikat berkenaan mempunyai 10,000 pemandu di Jakarta, Bandung dan Bali selepas memulakan operasi di Indonesia setahun lalu.

Ia menjangka jumlah pemandunya meningkat sehingga 100,000 menjelang 2017. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 7:56 AM