ALEEYA dengan kostum comel dan mencuit hati.
ALEEYA dengan kostum comel dan mencuit hati.
EMPAT jenis produk sambal dan pucuk ubi kayu yang mendapat perhatian ramai.
EMPAT jenis produk sambal dan pucuk ubi kayu yang mendapat perhatian ramai.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Melihat penampilannya yang anggun dan jelita, sambil mengenakan apron hitam bersama perhiasan comel Minnie Mouse di kepala cukup membuatkan orang tertanya-tanya jenis perniagaan diusahakan wanita ini.

Menggunakan tanda pengenalan produk yang cukup mencuit hati ‘Pedas Giler Masuk Hospital’ dan ‘Pedas Giler Masuk ICU’ sepanjang menyertai bazar menjadi daya penarik kepada pengunjung untuk mendekati seterusnya merasai makanan yang dijual.

Jangan tidak percaya kerana wanita jelita ini menyediakan pelbagai jenis sambal termasuk pucuk ubi goreng menerusi dalam talian dan juga dijual di bazar utama sekitar Kuala Lumpur.

Jelas pemilik jenama Aleeya’s Kitchen, Aleeya Zailan, memang ramai terkejut melihat penampilannya ketika menjual sambal di bazar. Ramai juga tidak percaya dia menjual produk makanan itu kerana beranggapan peniaga sambal biasanya mereka yang sudah berusia.

“Memang sengaja saya tampilkan kelainan menerusi produk sambal dan pucuk ubi goreng sama ada menerusi penampilan dan juga tanda pengenalan produk. Perniagaan sambal itu sendiri sudah semestinya berbeza kerana jarang dijual, jadi saya mengambil peluang mempromosikan produk saya sendiri menerusi alam maya dan berkunjung ke bazar untuk mendekatkan diri dengan pelanggan. Tidak sangka sambal hitam dan pucuk ubi goreng mempunyai penggemarnya tersendiri daripada semua golongan usia,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut pemilihan produk sambal untuk dipasarkan dan bukannya kecantikan atau fesyen, Aleeya memberitahu dia sememangnya gemar memasak dan hobi ini bermula sejak menetap di New Zealand. Pelbagai jenis masakan dihasilkan dan kebanyakannya diberikan kepada jiran dan kawan rapat. Suami juga penggemar masakan Melayu dan menyukai sambal hitam dan juga pucuk ubi goreng.

Secara suka-suka disebabkan banyak masa di rumah, wanita kelahiran Melaka ini menghasilkan sambal hitam serta memuat naik di laman Facebook dan Instagram dengan tagline Sambal Hitam Pedas Giler Masuk Hospital.

Alangkah terkejutnya Aleeya, tidak sangka sambal hitam mendapat permintaan daripada rakan dan juga kawan sepejabat suami. Mereka memesan setiap hari dan memaksa Aleeya membuat penghantaran ke pejabat.

“Daripada sekadar suka-suka, saya berasakan sambal hitam ini boleh dikomersialkan. Lalu saya mencipta nama produk Aleeya’s Kitchen untuk Facebook dan Instagram supaya menampakkan lebih profesional. Saya terus mencari pembungkusan terbaik, label dan cara memasarkannya,” katanya.

Disebabkan tidak mempunyai pekerja, Aleeya memasak sendiri sambal di rumah dengan bantuan pembantu rumahnya. Dalam masa setahun, empat jenis sambal berjaya dihasilkan iaitu sambal hitam dalam dua perisa iaitu asli dan Pedas Giler Masuk Hospital, pucuk ubi goreng, Lori Cili Terbalik, Sambal Paste Cili Berlada untuk perisa asli dan Pedas Giler Masuk ICU dan terbaru sambal udang kering juga disediakan dalam perisa asli dan untuk pedas masih belum diberi nama.

Menyertai bazar makanan seperti Food Mega, Damansara Street Fest, di Menara TM dan Food Hunter memberi peluang kepada Aleeya’s Kitchen mempromosikan empat produknya.

“Pada peringkat permulaan memang ramai yang tertanya-tanya apakah yang kami jual. Melihat kepada penampilan saya sendiri, pekerja dan juga tanda pengenalan yang diletakkan di situ, ramai yang datang ke booth semata-mata untuk melihat produk kami.

“Tambah pula apabila nama ini mudah dan selalu disebut dan ia seakan-akan menjadi satu drama lucu apabila ramai antara mereka yang ‘terkena’ sebaik saja merasai setiap sambal yang kami sediakan. Walaupun rasanya pedas, mereka datang lagi dan lagi untuk membeli,” katanya yang menyediakan 1,000 pek untuk penjualan di bazar dan biasanya ia habis dalam masa beberapa jam. Malah, ada di sesetengah tempat tidak cukup bekalan.

Cabaran hasilkan sambal berkualiti

Dia yang langsung tiada pengalaman dalam bidang makanan, sentiasa belajar untuk memperbaiki rasa dan teknik pembungkusan bagi memberikan yang terbaik untuk sambal hitam dan pucuk ubi kayu.

Selain cabaran memasak terlalu lama bagi mendapatkan sambal hitam yang sedap dan tahan lama, Aleeya juga menghadapi kesukaran mendapatkan bahan mentah terutama belimbing buluh dan juga pucuk ubi kayu. Kedua-dua bahan ini banyak terdapat di kawasan kampung, malangnya tidak dapat diperoleh dalam jumlah yang banyak.

“Sambal hitam berasal dari Pahang, menggunakan belimbing buluh dan cili padi yang banyak. Belimbing perlu direbus dalam periuk tanah sehingga hitam sebelum digoreng bersama cili padi. Belimbing ini saya peroleh dari Pahang. Begitu juga dengan pucuk ubi yang perlu digoreng lama supaya ia garing dan rangup. Namun cabarannya, untuk mendapatkan pucuk ubi kayu di sekitar Kuala Lumpur. Biasanya saya mendapatkan pucuk ubi segar di Negeri Sembilan,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini.

Bagi mendapatkan rasa seperti sekarang, Aleeya terpaksa mengubah suai beberapa kali bahannya. Sambal dan pucuk ubi tidak diletakkan pengawet dan pewarna. Oleh kerana dimasak terlalu lama sehingga empat jam, sambal tahan lama tiga hingga enam bulan sekiranya disejuk beku.

Selain dimakan bersama nasi dan roti, ada antara pelanggan yang tinggal di luar negara menikmatinya bersama piza dan dijadikan bahan perisa untuk nasi goreng. Sesuai dibawa untuk mereka yang ingin melancong ke luar negara atau mengerjakan umrah.

Dilahirkan di Melaka kemudian menetap di New Zealand selama 10 tahun kerana mengikut ibu yang tinggal di sana, Aleeya sememangnya tidak pernah lupa asal usul dan sangat menggemari masakan Melayu. Begitu juga dengan suaminya. Walaupun pada mulanya suami sendiri tidak yakin dengan perniagaan yang dijalankan, selepas melihat hasilnya kini dia sendiri mencadangkan agar Aleeya membuka kilang dan memikirkan untuk meluaskan pasaran.

“Oleh kerana permintaan untuk sambal dan pucuk ubi kayu sudah ada, saya kini perlu bersedia menyediakan bahan mentah belimbing buluh dan pucuk ubi kayu dalam jumlah yang banyak seterusnya memikirkan operasi pengeluaran di kilang.

“Namun kualiti dan rasa harus dikekalkan bagi menarik pelanggan setia yang selama ini memberikan sokongan kepada Aleeya’s Kitchen,” katanya yang ditemui di kediamannya di Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 11:44 AM