KOLEKSI selendang segera mengikut cita rasa si kecil.
KOLEKSI selendang segera mengikut cita rasa si kecil.
TUDUNG segera yang boleh digayakan dengan dua gaya.
TUDUNG segera yang boleh digayakan dengan dua gaya.
TAMPIL kemas ke mana saja.
TAMPIL kemas ke mana saja.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Mudah digayakan dan selesa dipakai, antara dua ciri yang membuatkan hati si kecil berubah menjadi riang ketika mengenakan tudung atau selendang segera.

Bertambah menarik perhatian apabila pilihan warna ceria pada koleksi tudung sedia dipakai membuatkan anak anda bertambah puas.

Pengalaman sukar untuk mendapatkan tudung mengikut saiz dan rekaan sesuai untuk dua anak perempuannya membuatkan Nurzulali Mohd Tahet gemar membuat sendiri tudung untuk anaknya itu.

Ditambah dengan sikapnya yang tidak suka membeli-belah menguatkan azam untuk menjahit tudung atau selendang bukan saja untuk si kecil tetapi dirinya sendiri.

“Ketika bekerja sebagai juruanalisis sistem di institusi perbankan, saya menerima tempahan menjahit tudung disebabkan memang hobi saya. Sepanjang saya bekerja hingga ke hari ini, semua tudung dan selendang dipakai dijahit sendiri, malah dua anak perempuan saya juga memakai tudung jahitan saya.

“Selepas 15 tahun bekerja, saya berhenti pada 2012 dan mula aktif belajar membuat tudung untuk memantapkan kemahiran.

“Kemudian, saya belajar cara berniaga secara dalam talian dengan bimbingan Irfan Khairi dan akhirnya memilih untuk menjalankan perniagaan yang memberi fokus terhadap koleksi tudung kanak-kanak,” katanya yang membuka butik Online, Mama Ameera.

Bermula dengan hanya dua mesin mudah alih, dia menambah enam mesin jahit industri hingga memiliki bengkel jahitan sendiri selepas memberi tumpuan penuh kepada perniagaannya itu.

Ujarnya, kebanyakan rekaan tudung yang ditampilkan adalah idea sendiri. Misalnya, koleksi Button Kid Shawl. Idea menghasilkan koleksi selendang yang berbutang itu hadir selepas dia melihat kehadiran pelangi selepas hujan.

Bagi memudahkan pemakaiannya terutama kanak-kanak yang masih kecil, dia menambah jahitan butang bagi membolehkan pemakaiannya diubah mengikut kesesuaian anak.

Koleksi berkenaan menggunakan kain kapas lycra kerana ia lebih sejuk dan selesa dipakai oleh si kecil. Ia didatangkan dalam lima warna terang yang paling digemari kanak-kanak termasuk merah jambu, biru dan ungu lembut.

Selain selendang, jenama berkenaan turut menampilkan himpunan tudung sarung yang diperbuat daripada fabrik moss crepe. Menariknya, rekaan ini boleh digayakan dengan dua cara kerana ia disiapkan dalam dua warna berbeza iaitu terang di bahagian luar dan rona yang lebih lembut di dalam.

Kebanyakan rekaan dihasilkan hanya mengeluarkan maksimum 10 warna berbeza bagi memenuhi cita rasa si kecil yang boleh digayakan sekitar usia tujuh hingga 12 tahun.

Material yang menjadi pilihannya ialah lycra, kain kapas lycra dan moss crepe kerana ia lebih sesuai serta selesa untuk digayakan kanak-kanak. Bermula pada harga RM25 hingga RM35, semua koleksi tudung kanak-kanak jenama berkenaan boleh didapati secara dalam talian di Facebook atau Instagram, mymama-ameera dan Google Play Store, Kids Hijab Mama Ameera.

Selain menjahit tudung dan selendang untuk bersantai, dia turut menampilkan koleksi tudung sekolah sedia dipakai dalam warna asas iaitu putih, biru dan hitam.

Kini, dia baru mula menjahit dan memperkenalkan koleksi telekung kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun menggunakan kain kapas sulam dan renda berwarna.

Baginya, bidang jahitan ini tidak perlu dipandang rendah kerana pelbagai bidang yang boleh diterokai.

“Di sini, saya ingin tekankan bahawa wanita bekerjaya yang berhenti bekerja atas apa sebab sekalipun tidak boleh mensia-siakan pengetahuan dan pengalaman untuk menjadi ibu yang bekerja dari rumah,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 12:04 PM