Oleh Ardini Sophia Sina


Drama Hello Mr. Perfect bukan hanya membawa tuah kepada pendatang baru, Ruhainies apabila menjadi teraju utama dalam drama 26 episod itu malah membuka peluang lebih luas sebagai pelakon.

Drama disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 itu menjadi landasan yang baik untuk pelakon baru membina nama sepertinya.

Kini sibuk dengan penggambaran telefilem Karlisa, Ruhainis atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 23, berharap ia menjadi permulaan yang baik buat dirinya.

Katanya, tidak hanya terhad pada tawaran berlakon, dia juga diintai menjadi duta produk dan bersyukur kerjaya seninya berjalan lancar.

“Saya tidak sangka selepas berlakon drama itu, banyak tawaran yang datang. Bukan dalam lakonan saja, malahan ada juga yang ingin menjadikan saya sebagai duta produk kecantikan mereka.

“Saya melihat keadaan ini sebagai perkembangan positif dalam kerjaya. Saya pernah berlakon dalam telefilem Sopeah Jin tetapi memegang watak kecil. Ketika itu, tidak ada pun yang menyedari kehadiran saya.

“Tetapi selepas menjadi teraju utama Hello Mr. Perfect, barulah penonton perasan saya juga berlakon dalam telefilem itu,” katanya.

Ruhainis gembira kerana rating Hello Mr. Perfect sangat memberangsangkan hingga rantaian itu berjaya menduduki tangga kedua mengalahkan Love You Mr Arrogant tetapi belum berjaya mengatasi Rindu Awak 200% lakonan Ayda Jebat dan Zul Ariffin.

Namun begitu, kata Ruhainies, dia gembira kerana penonton memberi sokongan walaupun heroin Hello Mr. Perfect pelakon baru.

“Ia menandakan rakyat Malaysia menerima kehadiran orang baru dalam industri seni dan tidak terus menghukum walaupun lakonan mereka masih kurang mantap,” katanya.

Dia mengakui mana-mana pelakon slot Akasia pasti menjadi sebutan penonton. Namun, ada yang nama mereka meletup hanya ketika drama itu ditayangkan dan kemudian hilang selepas drama mereka digantikan dengan naskhah lain.

Ruhainies adik pelakon Risteena Munim berkata, timbul perasaan bimbang dia menjadi ‘one hit wonder’ namun tetap percaya pada rezeki.

“Saya menyedari keadaan itu memang ada menimpa beberapa pelakon. Saya juga takut apabila Hello Mr. Perfect digantikan dengan siri lain, mereka akan melupakan saya.

“Tetapi kalau sudah rezeki saya, walaupun tidak muncul dalam drama lain nama saya tetap menjadi sebutan. Saya sudah melakukan yang terbaik melakonkan watak Alya Adriana dan Nurul Ain.

“Syukur kerana sehingga kini masih ada lagi yang mengingati saya sebagai pelakon dalam Hello Mr. Perfect. Paling penting saya gembira kerana walaupun masih baru, saya dapat memberikan sedikit sumbangan dan membantu drama itu menduduki tangga kedua dalam rating drama Akasia,” katanya.

Drama bersiri 26 episod itu mula disiarkan 30 September lalu menggantikan drama Mencintaimu. Ruhainie memegang dua watak, Alya Adriana dan Nurul Ain serta digandingkan dengan Fattah Amin. Ia kini digantikan dengan Akulah Balqis lakonan Puteri Balqis, Aeril Zafrel dan Nabila Huda sejak 18 November lalu.

Cari peluang dalam perniagaan

Memiliki Diploma Pengurusan Pelancongan dari Universiti Teknologi Mara, (UiTM) Pulau Pinang, Ruhainis bukan hanya mahu dikenali sebagai pelakon terkenal tetapi juga mencari peluang menjalankan perniagaannya.

Katanya, itu adalah sebagai rancangan sandaran andai kerjaya lakonan tidak menjadi. Tambah pula sebelum bergelar pelakon pun dia terlebih dulu berjinak-jinak dalam bisnes.

“Saya sudah mula menjalankan perniagaan sebelum jadi pelakon tetapi tergendala seketika kerana memberikan tumpuan pada lakonan. Sekarang saya sudah boleh mengatur jadual lakonan, bolehlah saya teruskan rancangan saya itu.

“Insha-Allah, dalam masa terdekat saya akan lancarkan produk kecantikan Ruhaninies RosySecret. Perniagaan ini adalah sebagai sandaran kalau lakonan tidak menjadi. Ia juga adalah pendapatan sampingan saya,” katanya.

Sibuk menjalani penggambaran telefilem Karlisa, Ruhainies sudah merancang untuk pergi bercuti bersama keluarga.

Katanya, selain meluangkan masa bersama keluarga, dia juga ingin berehat sebelum kembali ke lokasi penggambaran.

Memilih London sebagai destinasi percutian, Ruhainies bercuti selama dua minggu dan kembali bekerja pada 31 Disember. Katanya, dia sudah tidak sabar untuk menikmati keindahan negara itu.

“Selain ingin membawa keluarga berjalan-jalan di negara orang, saya juga mahu berehat. Biarlah saya kembali ke lokasi dalam keadaan segar. Apabila terlalu letih bekerja, ia akan mempengaruhi kualiti kerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:04 AM