PEMAIN Juventus Simone Zaza (kanan) cuba lepasi kawalan pemain Palermo.
PEMAIN Juventus Simone Zaza (kanan) cuba lepasi kawalan pemain Palermo.

Milan: Juara bertahan Juventus bertandang ke Lazio awal pagi esok sambil memburu kemenangan kelima berturut-turut bagi mengurangkan jarak dengan pendahulu Serie A, Napoli tetapi jika menang, pengurus Lazio Stefano Pioli mungkin kehilangan jawatannya.

Kunjungan kelab juara itu ke ibu negara Itali terpaksa dipercepatkan berikutan Juve perlu mengharungi aksi Liga Juara-Juara di Sevilla minggu depan dan jika dilihat kepada prestasi semasa, kelebihan memihak kepada Bianconeri.

Kemenangan 3-0 Juve di Palermo, Ahad lalu yang juga kejayaan keempat berturut-turut di peringkat liga, membolehkan skuad kendalian Massimiliano Allegri melonjak ke tangga kelima Serie A.

Mereka mungkin ketinggalan tujuh mata berbanding pendahulu tetapi kebangkitan Juventus boleh dianggap menakjubkan terutama apabila mereka hampir terperosok di zon penyingkiran enam minggu lalu.

Biarpun Lazio sedang dilanda masalah, pemain tengah Juventus Claudio Marchisio pantas mengingatkan rakan sepasukannya mengenai kemungkinan yang akan dihadapi apabila berkata: “Kami perlu berhati-hati ketika menentang Lazio kerana mereka bukannya dilanda masalah terlalu besar.

“Dari segi positif, kami akan bersiap dengan cara terbaik dan beroleh rehat lebih dua hari berbanding apa yang kami lalui minggu sebelumnya.”

Dengan Paul Pogba masih digantung selain Sami Khedira belum cergas, Allegri dijangka menerapkan formasi 3-5-2 bagi menutup kelemahan di bahagian tengah sambil sama ada Alvaro Morata atau Mario Mandzukic akan digandingkan dengan Paulo Dybala di barisan depan. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:26 AM