ROHAN diarak beramai-ramai.
ROHAN diarak beramai-ramai.
ROSHNI dalam perjalanan untuk menghadiri majlis meraikan perkahwinannya.
ROSHNI dalam perjalanan untuk menghadiri majlis meraikan perkahwinannya.
KETIBAAN pasangan pengantin di majlis yang diadakan tiga hari berturut-turut.
KETIBAAN pasangan pengantin di majlis yang diadakan tiga hari berturut-turut.
PELBAGAI pilihan hidangan istimewa India dihidangkan.
PELBAGAI pilihan hidangan istimewa India dihidangkan.
PASANGAN pengantin dikelilingi tetamu.
PASANGAN pengantin dikelilingi tetamu.

Seorang jutawan India menghabiskan £14 juta (RM90 juta) untuk perkahwinan anak lelakinya di Florence, Itali.

Kira-kira 500 tetamu dijemput menghadiri upacara perkahwinan Rohan Mehta dan pengantin perempuan Roshni yang diadakan selama tiga hari berturut-turut.

Rohan ialah satu-satunya anak lelaki Yogesh Mehta, jutawan yang menubuhkan empayar Petrochem di Dubai pada 1995.

Majlis bermula Rabu lalu selepas tetamu dari seluruh dunia diterbangkan ke Florence dan disediakan tempat tinggal di beberapa hotel terbaik bandar raya itu.

Sebelum majlis bermula, pengantin perempuan dilihat muncul dari sebuah hotel di Arno River dengan memakai pakaian tradisional India, sari sambil berpegangan tangan dengan beberapa tetamu lebih muda.

Tidak lama selepas itu, pasangan pengantin baru dilihat muncul di tempat bersejarah bandar itu sambil menari. Perkahwinan mereka kemudian diraikan di Dataran All Saints, tempat berlangsungnya perarakan yang diketuai pengantin lelaki.

Media Itali melaporkan pihak berkuasa bandar raya Florence sebelum ini menolak permintaan pengantin lelaki untuk tiba di majlis itu menaiki gajah.

Menurut akhbar Florence La Nazione, permintaan itu ditolak atas alasan kesihatan dan keselamatan serta kebimbangan mengenai kesihatan haiwan berkenaan.

Bapa pengantin lelaki, Mehta yang juga dikenali sebagai Yogi memuat naik status dalam laman Twitternya awal minggu lalu mengenai perkahwinan terbabit.

Dia menulis: “Anak kami Rohan akan mengahwini kekasih hatinya Roshni pada 27 November 2015 di Florence, Itali. Perkahwinan magis pasangan RORO!”

Mehta dipercayai memiliki kekayaan sekitar AS$623 juta (RM2.7 bilion) yang dikumpulnya selepas berpindah ke Asia Barat pada usia 29 tahun tanpa pekerjaan mahupun pelan perniagaan sebelum menubuhkan syarikat Petrochem.

Syarikat itu kini menjadi antara syarikat pengedar petrokimia terbesar di Asia Barat.

Rohan dijangka mewarisi syarikat itu pada masa akan datang selepas lulus dalam jurusan perniagaan dari Universiti Northeastern di Boston.

Isterinya, Roshni yang dilahirkan dan dibesarkan di London memiliki sebuah syarikat fesyen dan mereka akan menetap di Dubai selepas mendirikan rumah tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 8:31 AM