LAW (tiga dari kanan) pada majlis perasmian  wajah baharu Parkson Alamanda Putrajaya,  semalam.
LAW (tiga dari kanan) pada majlis perasmian wajah baharu Parkson Alamanda Putrajaya, semalam.

Putrajaya: Parkson Corporation Sdn Bhd (Parkson) merancang membuka tiga cawangan baharu tahun depan iaitu masing-masing satu di Damansara, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur serta di Bintulu, Sarawak.

Ketua Pegawai Operasinya, Law Boon Eng berkata, secara purata kos membuka setiap cawangan RM10 juta untuk pengubahsuaian, tidak temasuk stok barangan dan kos lain.

“Dalam perancangan syarikat, kita menetapkan untuk membuka beberapa cawangan baharu setiap tahun untuk lebih mendekati pelanggan terutama di lokasi belum ada cawangan Parkson dan sesuai dengan keperluan pengguna.

“Parkson mempunyai tiga kategori cawangan iaitu premium, cawangan biasa (Parkson Store) dan pinggir bandar seperti di Labuan, Sabah dan Sungai Petani Kedah, namun tiga cawangan yang akan dibuka adalah cawangan biasa,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan wajah baharu Parkson Alamanda Putrajaya di sini, semalam.

Turut hadir Pengurus Besar (Operasi), Loh Chai Hoon dan Pengurus Kanan Cawangan Parkson Alamanda, Azman Abu Saman.

Law berkata, satu lagi cawangan baharu dibuka 12 Disember ini di Vivacity Megamall, Kuching Sarawak.

Ketika ini, Parkson mempunyai 40 cawangan di seluruh negara, 60 di China, sembilan di Vietnam, 14 (Indonesia) dan satu di Myanmar.

Selain membuka cawangan baharu, Law berkata, Parkson juga turut memberi wajah baharu kepada beberapa cawangan terpilih untuk memberi keselesaaan kepada pelanggan untuk membeli-belah.

Katanya, selain cawangan pusat beli-belah Alamanda, Parkson di pusat beli-belah KLCC diubah suai manakala sebahagian Parkson Pavilion turut diubah suai, manakala sebahagian lagi dilaksanakan selepas musim perayaan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 6:49 AM