PEKERJA mengepam air sungai Segget dan dialirkan ke Selat Tebrau sebagai persediaaan menghadapi fenomena air pasang besar. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
PEKERJA mengepam air sungai Segget dan dialirkan ke Selat Tebrau sebagai persediaaan menghadapi fenomena air pasang besar. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Hujan lebat sejak 12.30 tengah hari tadi menyebabkan Jalan Wong Ah Fook di kawasan pusat bandar di sini, dinaiki air kira-kira 0.5 meter, hampir setengah jam.

Jurucakap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata, hujan lebat itu menyebabkan berlaku banjir kilat kira-kira jam 1 petang, namun mulai surut dan lalulintas kembali lancar, setengah jam kemudian.

"Pihak MBJB sudah membuka tiga pintu air di Sungai Chat, Sungai Segget dan Ayer Molek sebagai langkah menghadapi air pasang besar yang berlaku hari ini.

"Bagaimanapun, berlaku banjir kilat kira-kira setengah jam di pusat bandar, namun terkawal kerana pelbagai persiapan sudah dilakukan lebih awal," katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru berkata, sepasukan anggota bomba turut ke lokasi bagi memantau keadaan selepas menerima laporan berhubung banjir kilat berkenaan.

"Bagaimanapun, keadaan terkawal dan hanya kerja pembersihan di sekitar lokasi banjir kilat masih dijalankan," katanya.

FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 4:37 PM