OTHMAN Mustapha. FOTO arkib NSTP Rosela Ismail
OTHMAN Mustapha. FOTO arkib NSTP Rosela Ismail
Oleh Ainul Fatihah Mansor


Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan wujudnya Islam versi jabatan itu malah, pihak terbabit tidak pernah memaksa individu supaya berlandaskan mereka.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata, sejak awal penubuhannya sehingga kini, JAKIM masih mengekalkan fungsi iaitu bertindak sebagai pemudah cara dalam penyelarasan dan penyeragaman hal ehwal Islam antara Kerajaan Persekutuan dan negeri seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, JAKIM menggunakan pendekatan mendidik sebaik mungkin dalam memberi kefahaman mengenai Islam kepada masyarakat.

"JAKIM memainkan peranan penting sebagai agensi pusat dalam pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan penyelarasan pentadbiran Islam, pelajaran dan undang-undang Islam ke arah pembangunan ummah di seluruh Malaysia.

"Pada masa sama, kita juga meraikan kepelbagaian pendapat di dalam mengamalkan ajaran Islam selagi ia berada di atas landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie yang menjadi keutamaan," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpandangan bahawa, al-Quran menyatakan tidak ada paksaan dalam Islam dan JAKIM mahu memaksa semua orang untuk mengikuti Islam mengikut versi jabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 12:47 PM