FOTO Bernama
FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Malaysia yakin bahawa hubungan kukuh ASEAN-China, yang memasuki tahun ke-25 pada 2016, akan mendorong kepada aktiviti pelaburan dan perdagangan yang lebih pesat.

Dalam ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN-China kali ke-18 di sini hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia pada dasarnya akan menyokong pelbagai aktiviti yang dicadangkan kedua-dua pihak bagi meraikan ulang tahun berkenaan.

Beliau berkata, China merupakan antara rakan dialog penting rantau ini, dengan hubungan diperkukuh susulan penerimaan pelan tindakan bagi melaksanakan deklarasi bersama Perkongsian Strategik ASEAN-China untuk Keamanan dan Kemakmuran.

“Malaysia juga mendapat galakan hasil daripada komitmen, pengesahan dan sokongan kukuh China secara berterusan untuk pemusatan ASEAN, dan peranan utama kita dalam mekanisme ASEAN, termasuk Sidang Kemuncak Asia Pasifik dan Sidang Kemuncak Asia Timur,” katanya.

Perkongsian strategik untuk Keamanan dan Kemakmuran itu ditandatangani pada Sidang Kemuncak Ketujuh ASEAN-China, pada 8 Okt, 2003 di Bali, Indonesia.

Pelan Tindakan itu dirangka sebagai pelan induk untuk memperkukuh dan memperluas kerjasama dan hubungan ASEAN-China secara lebih komprehensif dan memberi manfaat bersama selama lima tahun antara 2005 dan 2010.

Ia berperanan dalam mengukuhkan perkongsian strategik untuk keamanan, pembangunan dan kemakmuran serantau dan memain peranan proaktif bagi merebut peluang dan memenuhi cabaran serantau milineum baharu ini.

Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-18 itu berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27, yang berakhir esok.

Perdana Menteri China, Li Keqiang, yang tiba di ibu negara Malaysia semalam, turut menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China. Mesyuarat tertutup itu belangsung selama 100 minit.

Selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini, Najib turut merakamkan penghargaan kepada Thailand yang menjadi negara penyelaras dialog ASEAN-China sejak tiga tahun lepas, dan mengalu-alukan Singapura sebagai penyelaras baru. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:15 PM