AIR Force One yang tiba di Lapangan Terbang TUDM Subang, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
AIR Force One yang tiba di Lapangan Terbang TUDM Subang, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Presiden Amerika Syarikat(AS), Barack Obama tiba di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang tepat jam 3.20 petang tadi.

Pesawat Air Force One yang membawa Obama selamat mendarat dalam cuaca hujan renyai-renyai.

Ketibaan beliau disambut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagi menghadiri Sidang Kemuncak AS-ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur.

Hadir sama menyambut Presiden AS ke-44 itu ialah Duta Malaysia ke AS, Datuk Dr Awang Adek Hussin

Ini adalah kunjungan rasmi kedua Obama ke Malaysia selepas kali pertama pada 26 April tahun lalu.

Beliau dilaporkan berlepas ke Kuala Lumpur selepas menghadiri mesyuarat APEC di Manila yang berakhir pada semalam.

Obama kemudian diberi kawalan kehormat oleh anggota Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum dibawa menghadiri sesi 'town hall' dengan alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di Taylor's University di Bandar Sunway, Petaling Jaya dekat sini.

Selepas itu Obama menghadiri majlis pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 4:19 PM