Mohamed Khaled menunjukkan buku pembentangan bajet 2016 ketika Mesyuarat Kedua (Bajet 2016) penggal persidangan kedua Dewan Negeri Johor ke-13 di Dewan Persidangan, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar Nusajaya. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Mohamed Khaled menunjukkan buku pembentangan bajet 2016 ketika Mesyuarat Kedua (Bajet 2016) penggal persidangan kedua Dewan Negeri Johor ke-13 di Dewan Persidangan, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar Nusajaya. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Nusajaya: Kerajaan Negeri Johor mengumumkan peruntukan belanjawan pembangunan tertinggi dalam sejarah pentadbirannya apabila memperuntukkan RM541.10 juta dalam Bajet Johor 2016 yang dibentangkan, hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan itu dinaikkan 47.76 peratus berbanding RM366.20 juta yang disediakan pada bajet tahun lalu.

Beliau berkata, daripada peruntukkan itu, RM213 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan projek dan program sektor ekonomi, RM95.1 juta untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dan pentadbiran, manakala RM33 juta lagi dikhaskan kepada pembiayaan projek pengairan dan saliran.

"Program pembangunan fizikal, sosial dan projek berkepentingan awam pula bakal menerima peruntukan sebanyak RM155 juta dan RM45 juta lagi disediakan untuk pembangunan agama Islam," katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2016 pada Persidangan Dewan Negeri Johor yang ke-13 di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, bajet berkenaan memberi tumpuan kepada enam fokus iaitu mengutamakan kesejahteraan rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, menangani peningkatan kos sara hidup serta memperkasakan aspek keusahawanan berasaskan inovasi dan pengetahuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 12:21 PM