NEYMAR ledak 10 gol buat Barca.
NEYMAR ledak 10 gol buat Barca.
Agensi

Madrid: Bintang Barcelona Neymar berjaya membuatkan peminat lupa seketika mengenai Lionel Messi selepas meledak 10 gol di samping enam gerakan yang membantu menghasilkan jaringan sepanjang ketiadaan penyerang Argentina itu akibat kecederaan lutut.

Ketika pertembungan El Clasico antara kelab gergasi Catalan dan Real Madrid bakal berlangsung Sabtu ini, bekas pemain Barca dan Real Alfonso Perez meluahkan rasa kagumnya dengan kejayaan bekas pemain Santos itu apabila menyifatkannya setanding dengan Messi.

“Kecederaan yang dialami Messi membuktikan Neymar dan (Luis) Suarez mampu memikul tanggungjawab menjaringkan gol buat pasukan,” kata Perez kepada Marca.

“Malah Neymar menjadikan perbezaan antara mereka lebih ketara. Ramai yang menganggap ketiadaan Messi pasti menjejaskan Barca tapi Neymar dengan tahap dipamerkan, membuatkan peminat tidak sedar Messi sebenarnya tidak bermain.”

Sementara itu, jurulatih Brazil Dunga pula menganggap Neymar sebenarnya lebih baik berbanding Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo ketika ini.

Dunga berkata, prestasi semasa Neymar lebih menyerlah berbanding dua pemain yang pernah merangkul gelaran Pemain Terbaik Dunia.

“Jika kita lihat pada ranking serta nombor dan statistik, Neymar sudah tentu lebih hebat,” kata Dunga. “Messi sedang cedera manakala Cristiano pula dijangka menampilkan aksi yang pernah dipamerkan tahun lalu.”

Barcelona bagaimanapun menerima khabar gembira mengenai tahap kecederaan Messi kelmarin.

Kecederaan ligamen lutut Messi dikatakan semakin pulih dan dia sudah menjalani latihan rasmi bersama rakan sepasukannya menjelang pertembungan menentang Los Blancos, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:39 AM