LOMPATAN  menghasilkan  emas di Kejohanan Olahraga Dunia.
LOMPATAN menghasilkan emas di Kejohanan Olahraga Dunia.
Oleh Rodly Fadly


“Alhamdulillah, ketua rempit dah jadi orang.” Itulah luahan Salmah Yatim, 58, apabila diminta mengulas mengenai kejayaan anaknya yang juga atlet paralimpik, Abdul Latif Romly, 18, selepas dia memenangi emas dalam acara lompat jauh kategori T20 di Kejohanan Olahraga Dunia IPC 2015 di Doha, Qatar, baru-baru ini.

Kejayaan Latif bersama seorang lagi atlet, Ridzuan Muhammad Puzi yang turut membawa pulang emas melalui acara 100m kategori T36 itu bukan saja membuka mata seluruh rakyat Malaysia malah memberi kelegaan kepada Salmah sekeluarga.

“Sejak dia aktif bersukan sehingga mewakili negara, kami sekeluarga berasa sangat lega dan tidak lagi serabut kepala memikirkan tingkah lakunya. Dulu, saya selalu risau bila memikirkan mengenai Latif, sudahlah tidak ada masa depan dalam akademik, suka merempit pula.

“Walaupun keadaannya tidak sempurna seperti orang lain tapi pengaruh Latif di kalangan kawan-kawan sebayanya cukup kuat. Kalau tak ada Latif, tak adalah rempit, muncul saja Latif berderumlah bunyi motosikal budak-budak kampung. Sebab itu saya dia panggil dia ‘kepala’ rempit.

“Tapi sejak Latif ke Kuala Lumpur, budak-budak yang dulu aktif merempit juga senyap sunyi. Aman Kampung Ketiri. Malah, kalau Latif balik, dia dan kawan-kawannya tidak berlumba lagi,” katanya.

Menurut Salmah, sebagai ibu, sudah tentu dia sangat bangga dengan pencapaian Latif, apatah lagi anak bongsu daripada tujuh beradik itu tidak memberi apa-apa harapan kepada keluarga sebaliknya sebelum ini kerap memeningkan kepala mereka.

“Semasa berumur enam bulan, dia selalu mengalami kekejangan dan berlanjutan sehingga berumur lebih setahun. Tapi, dia seorang yang lasak dan tidak pernah duduk diam. Semasa berumur enam tahun, dia digigit 14 ekor tebuan kerana mengusik sarangnya.

“Bila masuk sekolah, Latif tidak minat belajar malah kerap ponteng. Kalau dia tidak mahu ke sekolah, dipaksa bagaimana sekalipun dia tetap tidak akan pergi. Tahap pembelajarannya sangat lemah, sehingga darjah enam dia masih belum mampu menulis dan membaca.

“Semasa bersekolah menengah, Latif pada mulanya ditempatkan di kelas khas tapi dia minta ditukarkan ke kelas biasa kerana malu. Tapi, bila dipindahkan ke kelas biasa, dia semakin ketinggalan kerana murid-murid di dalam kelas ini semua lebih bijak daripada dia. Semasa berumur 15 tahun, baru dia boleh membaca dan menulis, itu pun sedikit-sedikit.

“Cikgu kerap mendendanya sama ada kena berdiri di atas kerusi atau dihukum semasa perhimpunan kerana kerap ponteng kelas. Selalunya, dia akan keluar dari kelas bila tidak suka kepada sesuatu mata pelajaran atau cikgu yang mengajarnya. Dia tidak pergi jauh, tapi sekadar bersembunyi di dalam tandas.

“Tapi, satu perkara yang cikgu suka dengan Latif ialah dia aktif bersukan dan mewakili sekolah dalam beberapa acara seperti lompat jauh, lompat tinggi, bola sepak, futsal dan lain-lain. Dia memang menjadi harapan sekolah membawa pulang pingat.

Secara fizikal, Latif tidak mengalami sebarang kecacatan namun dia dikategorikan sebagai orang kurang upaya kerana mengalami ketidakmampuan intelektual (intelectual disability).

Kejayaan Latif memenangi emas lompat jauh di Sukma 2014 Perlis membuka mata Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia untuk membentuknya menjadi atlet paralimpik kebangsaan di bawah bimbingan bekas jaguh lompat jauh negara, Shamsul Amri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:17 AM