Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) menyasarkan eksport bagi industri peralatan perubatan akan meningkat kepada RM15.11 bilion tahun ini berbanding RM13.49 bilion yang direkodkan tahun lalu.

Pengerusi AMMI, Hitendra Joshi berkata, Asia Pasifik dan Eropah mengekalkan kedudukan sebagai pasaran eksport terbesar bagi peralatan perubatan Malaysia dengan masing-masing berjumlah 27.8 dan 25.6 peratus.

Katanya, industri peralatan perubatan menjanjikan peluang yang besar kerana ia memainkan peranan penting dalam mengukuhkan landskap penjagaan kesihatan negara ini.

“Jumlah eksport peralatan perubatan negara menunjukkan peningkatan sebanyak 13 peratus daripada RM11.94 bilion kepada RM13.49 bilion, malah berdasarkan kajian 41 ahli AMMI, jualan keseluruhan ahli mereka pada tahun lalu berjumlah RM7.6 bilion dengan eksport RM6.95 bilion.

“Selain itu, pasaran ekport utama bagi negara kita adalah Asia Pasifik, Amerika Utara dan Eropah diikuti Jepun, Amerika Selatan serta China,” katanya.

Menurutnya, sejajar dengan polisi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang mempromosikan nilai tingggi dalam sektor pembuatan, ahli AMMI berjaya mencapai 52 peratus daripada nisbah nilai tambah berdasarkan pengiraan mudah daripada jumlah jualan berbanding kos bahan mentah.

Joshi berkata, selain itu, ahli AMMI membelanjakan RM54.83 juta dalam aktiviti kajian dan pembangunan (R&D) bagi terus menghasilkan peralatan yang mempunyai nilai tinggi.

Beliau berkata, tahun ini juga pihaknya memperuntukkan jumlah yang sama bagi menyokong R&D dan optimis untuk mengunjurkan tambahan 2,000 bakat terlatih berbanding 26,600 tenaga mahir setakat ini.

“Tahun lalu, AMMI memperuntukkan RM55 juta bagi R&D dan RM43 juta pada 2013 membabitkan lebih 244 pakar penyelidik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 6:41 AM