Anggota trafik melakukan operasi dan pemeriksaan di Hentian Rehat dan Rawat Ajil, LPT2.  - Foto NSTP (Fail)
Anggota trafik melakukan operasi dan pemeriksaan di Hentian Rehat dan Rawat Ajil, LPT2. - Foto NSTP (Fail)

Kuala Nerus: Polis Terengganu menafikan dakwaan penguatkuasaan undang-undang yang dijalankan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) tidak sah berikutan laluan itu belum diwartakan.

Sebaliknya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah menegaskan laluan sejauh 184 kilometer bermula dari Gemuruh di Kuala Terengganu sehingga Jabor, Kemaman, sudah diwartakan secara berperingkat.

Katanya walaupun tiada kutipan tol dilaksanakan sejak LPT 2 dibuka mengikut jajaran, namun ia sudah diwartakan.

"Komen serta viral yang tersebar luas di media sosial mengatakan polis melakukan kesalahan kerana mengambil tindakan undang-undang kepada pengguna lebuh raya itu adalah tidak benar sama sekali," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas viral di media sosial berhubung tindakan undang-undang yang dilaksanakan pihak berkuasa di LPT 2 itu.

Selain itu, katanya dakwaan mangsa kemalangan tidak dapat membuat sebarang tuntutan insurans juga tidak berasas.

Justeru beliau meminta orang ramai menghentikan tindakan menyebarkan berita yang tidak benar dan mengelirukan ramai pihak.

"Saya harap orang ramai mahupun individu yang tidak bertanggungjawab itu dapat hentikan penyebaran berita yang tidak berasas ini kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2015 @ 7:48 PM