BAHAGIAN sendi lutut yang digantikan dengan implan.
BAHAGIAN sendi lutut yang digantikan dengan implan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Antara masalah biasa dalam kalangan warga emas ialah sakit sendi. Kebanyakannya mengadu mereka mengalami kesukaran ketika bergerak terutama berjalan, bangun atau duduk apatah lagi jika sakit sendi di bahagian lutut.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, 35 peratus warga emas berumur 70 tahun dan ke atas mengalami masalah berjalan. Masalah berjalan termasuk kelajuan berjalan berkurangan, kehilangan keseimbangan dan koordinasi pergerakan.

Untuk warga emas, kelajuan berjalan, masa bangun daripada posisi duduk dan kebolehan untuk menyeimbangkan badan adalah petunjuk penting kepada kebolehan mereka melakukan aktiviti seharian seperti membeli-belah, memandu dan memasak.

Kebolehan untuk berjalan tanpa bantuan memerlukan daya tumpuan yang baik, kekuatan dan kawalan otot yang berkesan agar rangsangan deria rasa serta pergerakan otot dapat diselaras dengan baik.

Tulang diselaputi dengan tulang rawan pada permukaan sendi. Tulang rawan ini amat licin untuk memudahkan pergerakan sendi. Ia boleh rosak disebabkan penyakit seperti osteoartritis, reumatoid artritis, avascular necrosis atau kecacatan sejak lahir.

Keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan pada sendi terutama semasa bergerak. Sendi juga diselaputi oleh selaput synovium yang berfungsi untuk mengeluarkan bendalir bagi membantu melicinkan pergerakan.

Apabila sesuatu sendi itu rosak, ia boleh diperbaiki dengan penukaran sendi secara keseluruhan menggunakan implan.

Masalah sendi haus

Menurut Perunding Pakar Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Tropicana Dr Hisham Kunhimon, kebanyakan masalah itu berlaku disebabkan oleh sendi haus.

“Masalah sendi haus biasa berlaku di bahagian lutut dan pinggul yang disebabkan oleh berat badan berlebihan dan sendi yang rosak akibat kecederaan. Lutut adalah bahagian sendi yang paling biasa dan mudah mengalami kehausan.

“Tulang paha, betis, tempurung lutut akan bertemu dan dipegang oleh ligamen. Pergerakan yang berlaku secara berulang terutama di bahagian lutut boleh menyebabkan rawan menjadi haus.

“Rawan yang terdapat pada sendi tidak mempunyai deria rasa. Justeru, apabila mengalami kehausan ia akan menjadi kasar dan berbunyi,” katanya.

Ujarnya, jika rawan menjadi kasar dan retak, ia akan memberikan rasa sakit kepada pesakit. Salah satu punca masalah sendi haus disebabkan berat badan berlebihan.

Biarpun semua individu akan mengalami sendi haus apabila meningkat usia emas, masalah berkenaan akan lebih cepat berlaku kepada individu yang mempunyai berat badan berlebihan.

Selain itu, sendi yang haus juga boleh berlaku disebabkan kecederaan atau masalah lain seperti genetik, sering melakukan kerja berat dan jantina.

“Golongan wanita dikatakan lebih tinggi risiko mendapat masalah berkenaan yang akan berlaku dipercayai selepas putus haid kerana hormon yang semakin berkurangan.

“Dianggarkan 10 hingga 20 peratus risiko mendapat masalah sendi haus dalam kalangan orang dewasa dan ia meningkat kepada 23 peratus kepada individu berusia 55 tahun ke atas.

“Risiko terus meningkat kepada 39 hingga 40 peratus bagi individu berusia 65 tahun ke atas mengalami masalah sendi haus hingga menyebabkan kesukaran ketika bergerak terutama berjalan, bangun atau duduk,” katanya.

Ujar Dr Hisham, terdapat beberapa tanda yang boleh dikesan jika individu itu mengalami masalah sendi haus antaranya:

1. Bunyi seperti tulang berlaga ketika bergerak.

2.Mengalami kesakitan terutama ketika perlu berjalan jauh atau naik dan turun tangga.

3. Bengkak di bahagian lutut.

4. Lama-kelamaan, pergerakan sendi menjadi kurang.

5. Lutut akan mula membengkok ke luar.

Rawatan

Terdapat beberapa rawatan yang disarankan kepada pesakit sendi haus, bergantung kepada tahap serius kesakitan yang dialami.

“Pada peringkat awal sakit sendi, ia boleh dirawat dengan cara seperti terapi, mengurangkan berat badan dan pengambilan makanan tambahan bagi membantu menguatkan sendi.

“Apabila kesakitan berada pada tahap awal dan pertengahan, selepas mengenal pasti masalah dihadapi pesakit boleh diberikan suntikan yang membantu memberikan kelegaan sehingga dua tahun bergantung kepada tahap teruknya kerosakan sendi yang dialami.

“Namun, apabila sakit terlalu teruk, menganggu aktiviti harian dan terpaksa mengambil ubat tahan sakit yang kerap, pesakit diberi pilihan terakhir dengan mencadangkan melakukan pembedahan bagi menggantikan lutut yang bermasalah,” katanya.

Ujarnya, lebih 95 peratus pesakit yang menjalani pembedahan penukaran sendi dengan implan mendapat kelegaan sakit yang ketara di samping memperbaiki pergerakan lutut dan aktiviti harian.

Matlamat utama penukaran sendi dengan implan ini adalah untuk mengurangkan sakit pada sendi yang rosak. Kesakitan yang dialami amat ketara sehingga pesakit akan cuba untuk tidak menggunakan sendi berkenaan untuk bergerak sekali gus melemahkan otot di sekelilingnya.

Keadaan ini akan memburukkan masalah sedia ada. Pemeriksaan fizikal dan gambar sinar-X dapat menunjukkan tahap sendi yang rosak. Penukaran sendi implan ini adalah rawatan terakhir jika pesakit masih mengalami sakit yang amat ketara dan tidak dapat dikurangkan oleh kaedah lain.

Namun, doktor akan mengambil kira beberapa perkara sebelum melakukan pembedahan antaranya, sejarah pesakit dan jenis ubat yang diambil.

“Kebiasaannya, luka akan sembuh kira-kira dua minggu dan dalam tempoh tiga hingga empat hari pesakit sudah mampu berdiri serta berjalan menggunakan alat bantuan.

“Selepas pembedahan, pesakit perlu menjalani rawatan terapi dalam tempoh dua hingga tiga bulan bagi memastikan mereka mampu berjalan dan membuat aktiviti harian seperti menaiki tangga dan memandu dengan baik tanpa memerlukan sebarang alat bantuan.

“Namun, aktiviti berat atau lasak seperti melompat atau mencangkung tidak digalakkan untuk mengelakkan implan cepat rosak,” katanya.

Latihan senaman yang sesuai penting untuk proses pemulihan sendi yang dirawat. Selepas pembedahan, pesakit dibenarkan untuk bermain golf, berjalan, menari dan berkebun.

Terdapat beberapa pergerakan yang perlu dielakkan pesakit supaya tidak merosakkan sendi palsu seperti bermain sukan yang sangat aktif seperti tenis atau berlari. Penukaran sendi dalam kalangan warga tua boleh bertahan lebih daripada 10 tahun.

Ia akan memberikan kehidupan yang lebih bermakna kerana tiada kesakitan pada sendi yang terbabit. Penukaran sendi berbentuk impan pada pesakit muda yang lebih aktif mungkin memerlukan pembedahan yang berlainan selepas 10 hingga 15 tahun untuk menukar sendi palsu yang baru.

Masa depan akan lebih cerah kepada pesakit yang mengharapkan kehidupan yang berkualiti, berdikari dan aktiviti sihat tanpa kesakitan. Begitupun, pembedahan berkenaan tidak disarankan kepada pesakit sendi yang disebabkan oleh jangkitan kuman kerana berisiko tinggi menyebabkan implan yang dipasang boleh terkena jangkitan sama.

Walaupun kebanyakan warga emas akan mengalami sendi haus, masalah berkenaan boleh dicegah melalui beberapa cara seperti:

1. Jaga berat badan.

2. Rawatan awal selepas mengalami kecederaan akibat bersukan.

3. Kaedah senaman yang betul untuk menguatkan otot atau menggunakan peralatan senaman sesuai bagi mengelakkan sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 9:41 AM