RAJENDRAN (tengah) pada majlis pelancaran program, semalam.
RAJENDRAN (tengah) pada majlis pelancaran program, semalam.

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melihat pelaburan negara terus berkembang kukuh terutama tarikan pelaburan langsung asing (FDI) memandangkan ketika ini terdapat kelompok negara yang mula menjadikan Malaysia sebagai model pelaksanaan tarikan pelaburan di negara masing-masing.

Ini selaras dengan sasaran Malaysia untuk mencatatkan pelaburan keseluruhan RM1.3 trilion menjelang 2020 yang mana strategi memperkasakan daya tarikan pelabur ke negara ini berada di landasan yang betul.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II MIDA, Datuk N Rajendran berkata, ketika ini, 23 negara anggota Bank Pembangunan Islam (IDB) berminat mempelajari model yang dibangunkan oleh Malaysia dalam FDI.

Beliau berkata, sejumlah 27 wakil pelbagai agensi penggalakan pelaburan dari negara membangun, menyertai Program Model Penggalakan Pelaburan Malaysia untuk IDB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyelami keupayaan Malaysia memperoleh pencapaian FDI terbaik dalam kalangan OIC.

“Kerjasama pelaburan Malaysia dengan negara ahli IDB dapat dipertingkatkan hasil program seperti ini yang mana dalam tempoh 2008 hingga Julai lalu, sejumlah RM5.3 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan disertai anggota IDB.

“Kita berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan negara anggota IDB terutama sektor kimia, makanan dan minuman, tekstil serta produk perkayuan,” katanya, semalam.

Antara negara menyertai program Program Model Penggalakan Pelaburan Malaysia untuk IDB dan OIC itu ialah Turki, Uzbekistan, Tunisia, Brunei, Arab Saudi, Bosnia Herzegovina yang mana ia berlangsung dari 12 hingga 21 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:03 AM