Berbanding musim lain yang lebih ceria, musim luruh dan dingin pada penghujung tahun sering dikaitkan dengan suasana muram dan membosankan.

Ia bagaimanapun bertentangan bagi label fesyen antarabangsa yang menjadikan musim sejuk itu sebagai medium untuk memperkenalkan koleksi lebih kreatif dan berkualiti ke pasaran global.

Tidak terkecuali bagi jenama kulit terkenal dari Denmark, Ecco yang turut menampilkan koleksi menariknya untuk digayakan sepanjang musim luruh/dingin 2014 ini.

Begitupun, jangan samakan kasut ini dengan jenama lain yang ada di pasaran. Ini kerana jenama ini memiliki kelebihan tersendiri iaitu keselesaan yang tiada taranya meskipun baru pertama kali memakainya.

Pengurus Jenamanya, Walter Chan berkata, Ecco sangat mementingkan keselesaan dengan fungsi dan gaya tersendiri. Setiap kasut yang dihasilkan direka dengan teliti kerana ia melambangkan komitmen syarikat itu sendiri.

"Di Ecco, kami mempunyai falsafah reka bentuk Scandinavia iaitu kasut mesti mengikut kaki. Apabila anda membeli sepasang kasut kulit jenama ini, anda patut tahu yang ia sepasang kasut ultra premium dan tidak perlu mengambil masa untuk proses penyesuaian.

"Ia jelas menggambarkan bahawa kasut yang dihasilkan sememangnya selesa walau dipakai seharian," katanya pada majlis pelancaran koleksi terbaru di ibu negara, baru-baru ini. Hadir sama perekanya yang diterbangkan khas dari Denmark, Solveig Gubser.

Menurut Solveig, koleksi terbaru yang mula berada di pasaran itu hadir dengan gaya amali mewah yang jelas menggambarkan pengaruh fesyen masyarakat Scandinavia.

"Ia memaparkan pelbagai rekaan kasut untuk lelaki dan wanita yang diinspirasikan oleh gabungan gaya urban, semula jadi, kasual serta fesyen formal," katanya.

Dalam pada itu, rangkaian paling bergaya untuk wanita musim ini ialah kasut tapak rata, Touch 15 yang turut menjadi pilihan ramai termasuk selebriti popular Scha Alyahya.

Kata Solveig, kasut berkenaan hadir dalam rekaan penuh bergaya dan feminin dengan material kulit yang lembut untuk memberi keselesaan yang diimpikan meskipun dipakai sepanjang hari.

"Bagi yang gemar tampil dengan gaya lebih 'funky' koleksi kasut kasual CS14 yang mempunyai elemen retro perlu dimiliki.

"Kasut berkenaan sesuai digayakan sama ada dengan baju kasut, sut, seluar denim atau pun skirt," katanya.

Penampilan bagaimanapun kurang sempurna jika sesekali tidak bertukar kepada kasut tumit tinggi yang lebih bergaya.

Untuk wanita yang menggemari kasut jenis itu, koleksi Sculptured 45w paling selesa dan bergaya untuk disarung ke kaki. Pastinya, langkah anda ke pejabat mahu pun ke pusat hiburan lebih menyerlah dengan kasut berkenaan.

Sementara itu untuk pelengkap gaya untuk jejaka juga tidak dilupakan. Sempena musim luruh sejuk kali ini, Ecco turut memperkenalkan pelbagai rekaan menarik untuk melengkapkan lagi gaya jejaka.

Antara yang boleh dimiliki adalah koleksi Findlay yang menyediakan rekaan kasut kasual dengan perincian unik.

Kasut yang boleh dipadankan dengan denim atau sut kasual itu turut menjadi pilihan pengacara popular, Awal Ashaari.

Selain itu, bagi yang menyukai gaya lebih formal dan klasik, rekaan daripada koleksi Cairo memenuhi padanan berkenaan. Ia sesuai dipadankan dengan persalinan lebih formal untuk ke pejabat atau majlis rasmi.

Bagi melengkapkan lagi penampilan, miliki koleksi beg menarik daripada jenama ini yang sememangnya berkualiti tinggi dan bergaya.

Sama ada untuk disandang, genggam atau sekadar mengisi dokumen pejabat, koleksi beg yang diperkenalkan pasti memenuhi cita rasa.

Ia hadir dalam rekaan elegan yang sofistikated dengan material dan teknologi pembuatan yang tidak dapat dinafikan lagi. Rangkaian jenama ini boleh didapati di lebih 14,000 lokasi jualan di 85 negara seluruh dunia termasuk Malaysia.8,9) GAYA menarik untuk jejaka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 7:01 AM