Razimi Omar, 43, meninggal dunia di Hospital Putrajaya. - Foto Rosli Ilham
Razimi Omar, 43, meninggal dunia di Hospital Putrajaya. - Foto Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham


Dungun: Jurulatih pasukan lumba basikal Terengganu, Razimi Omar, 43, meninggal dunia di Hospital Putrajaya 8.20 malam ini, sekembalinya dari Kejohanan BMX Asia yang berlangsung di Napita, Myanmar.

Razimi yang berasal dari Tanah Lot, di sini, disahkan meninggal dunia dipercayai sakit jantung.

Pelumba negara, Ahmad Syazlin Awang Ilah,18, ketika dihubungi berkata, dia bersama empat pelumba lain serta Rozimi tiba di KLIA, kira-kira 5 petang dari Myanmar.

Katanya, mereka kemudiannya pergi ke rumah pegawai pasukan di Putrajaya  untuk mengambil van sebelum pulang ke Terengganu.

"Setiba di rumah pegawai pasukan terbabit, Razimi cuba membuka pintu van untuk menyimpan barang dan tiba-tiba rebah sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya," katanya.

Ahmad Syazlin berkata, pegawai perubatan di hospital kemudiannya mengesahkan Razimi meninggal dunia ketika rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 11:31 PM