SEBAHAGIAN pekerja yang menyertai tunjuk perasaan di Jakarta, semalam.
SEBAHAGIAN pekerja yang menyertai tunjuk perasaan di Jakarta, semalam.

Jakarta: Ribuan pekerja dari bandar raya ini dan bandar sekitarnya semalam menunjuk perasaan membantah formula baru bayaran gaji seperti yang ditetapkan kerajaan baru-baru ini.

Penganjur berkata, 20,000 pekerja menyertai tunjuk perasaan berkenaan di Monumen Nasional (Monas) di tengah Jakarta sebelum mereka berarak beramai-ramai ke Istana Negara.

Laporan lain menyatakan, 50,000 pekerja menyertai perarakan itu sambil melaungkan slogan ‘Hidup Buruh!’

Tunjuk perasaan berkenaan diatur sejak minggu lalu sebaik kerajaan Indonesia mengumumkan peraturan baru itu.

Pihak berkuasa mengeluarkan ketetapan itu ekoran mengumumkan pakej ransangan ekonomi keempat untuk meningkatkan pelaburan.

Ia menetapkan gaji minimum baru di negara itu berdasarkan inflasi tahun fiskal semasa dan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Langkah itu menggantikan formula berdasarkan kajian kos asas sara hidup membabitkan 84 komoditi dan keperluan lain. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 8:12 AM