Madrid: Persiapan Sepanyol menghadapi Belarus dalam aksi kelayakan Euro 2016 pada awal pagi Ahad terganggu susulan kecederaan selain beberapa isu lain yang membayangi pemainnya.

Pemain tengah, Cesc Fabregas muncul bintang terbaru menarik diri bersama rakan sepasukan di Chelsea, Diego Costa. Timbul persoalan mendakwa mereka lebih mengutamakan kelab berbanding skuad kebangsaan kerana kedua-duanya beraksi sepenuh masa ketika menewaskan Liverpool 2-1 dalam aksi Liga Perdana Sabtu lalu.

Pemain Barcelona Gerard Pique, seperti bekas rakan sepasukannya Fabregas yang menjadi kebanggaan kelab Catalan, turut didakwa tidak mengutamakan skuad negara walaupun dia bermati-matian menafikannya.

Pertahanan tengah Sergio Ramos yang tampil 122 kali untuk La Roja, diasak dengan situasi sama menerusi temubual bersama radio Sepanyol kelmarin dan berkata, dia mahu melihat pemain mempunyai keazaman sama apabila mewakili Sepanyol atau kelab.

“Ia mampu mencetuskan keraguan,” kata Ramos menjelang perlawanan di Huelva.

“Bukan saja skuad malah dalam kalangan penyokong selain debat yang mampu mencetuskan isu seperti ini,” tambah pertahanan Real Madrid itu.

“Saya tidak mahu membenarkan perkara itu berlaku. Sebab itu saya tampil bagi menyelesaikan isu ini.”

Walaupun tanpa beberapa pemain utama, Sepanyol seharusnya lebih berkualiti berbanding Belarus yang hanya meraih satu mata dalam tiga perlawanan Kumpulan C selain berkongsi kedudukan tercorot bersama Luxembourg.

Sepanyol yang membina pasukan selepas gagal mempertahankan kejuaraan Piala Dunia di Brazil, tercicir mata kepada Slovakia bulan lalu menyebabkan mereka tersingkir daripada kedudukan teratas kumpulan dan berada di kedudukan kedua, berkongsi enam mata bersama Ukraine. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:06 AM