PEMAIN Nuri Frenz ceria selepas muncul juara Piala Ketua Menteri Melaka.
PEMAIN Nuri Frenz ceria selepas muncul juara Piala Ketua Menteri Melaka.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Nuri Frenz dari Kuala Lumpur muncul juara kejohanan bola sepak B-12 merebut Piala Ketua Menteri Melaka selepas menewaskan Sungai Ara dari Pulau Pinang 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit baru-baru ini.

Kejayaan skuad itu membolehkan juara membawa pulang piala, wang tunai RM500 dan hadiah iringan manakala naib juara RM250 serta hadiah iringan.

Penyelaras kejohanan Azizi Shahril Abd Razak berkata, sebanyak 32 pasukan mengambil bahagian termasuk dari Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan tuan rumah Melaka.

Beliau berkata, kejohanan itu bertujuan membentuk pemain berbakat dalam kalangan akar umbi.

“Apa yang boleh saya katakan semua peserta mengambil bahagian memiliki kemahiran tinggi. Ini membuktikan Malaysia tidak pernah ketandusan bakat dalam sukan ini,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron. Hadir sama Timbalan Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Naib Presiden MUSA Khairi Anuar Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 9:34 AM