Sebanyak RM6.71 bilion (45.8 peratus) dikutip PTPTN daripada hampir 1.2 juta (66 peratus) peminjam. - Foto NSTP (Fail)
Sebanyak RM6.71 bilion (45.8 peratus) dikutip PTPTN daripada hampir 1.2 juta (66 peratus) peminjam. - Foto NSTP (Fail)

Kuala Lumpur: Jumlah kutipan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 30 September mencecah hampir RM7 bilion, kata Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, peningkatan itu hasil tindakan proaktif PTPTN bagi memastikan peminjam tegar membuat bayaran balik.

"Sebanyak RM6.71 bilion (45.8 peratus) dikutip PTPTN daripada hampir 1.2 juta (66 peratus) peminjam," katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Katanya jumlah keseluruhan peminjam PTPTN ialah 2.37 juta orang membabitkan jumlah pinjaman RM53.7 bilion manakala 607,842 pula peminjam tegar dengan jumlah pinjaman RM4.9 bilion.

Bagaimanapun katanya, 1.8 juta peminjam sepatutnya mula membayar balik pinjaman kepada PTPTN dengan jumlah pinjaman RM14.65 bilion.

Beliau menyifatkan peningkatan kadar bayaran balik itu sebagai situasi membanggakan membuktikan kejayaan usaha PTPTN menyedarkan peminjam untuk membuat bayaran balik.

"Bila kita tingkatkan penguatkuasaan, Alhamdulillah kita nampak peningkatan ketara. Kutipan kita cecah suatu angka yang besar. Namun kita masih teruskan usaha untuk kutip wang pinjaman yang sememangnya jadi hak untuk peminjam baharu," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 4:49 PM