TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah selepas tidak mengaku salah melakukan pemerasan terhadap isteri. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah selepas tidak mengaku salah melakukan pemerasan terhadap isteri. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pengamal perubatan tradisional mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, tadi atas pertuduhan menyamar sebagai Along dan melakukan pemerasan terhadap isteri dengan niat mendapatkan wang.

Tertuduh, R Gengatheran, 49, didakwa melakukan perbuatan berkenaan di rumahnya di Taman Johor Jaya pada 5.17 petang, 19 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan pemerasan dengan niat meletakkan mangsa, G Vimala dalam ketakutan dan dengan itu, secara tidak jujur mendorong mangsa dengan curangnya memasukkan RM1,000 ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua seksaan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Fithril Hakim Ab Jalil manakala tertuduh diwakili peguambela, John Fernandez.

Majistret, Salina Omar membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 7:03 PM