Oleh Afiq Hanif

Malaysia berupaya menewaskan Thailand dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI) tahun depan jika menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Ia diakui Ketua Ekonomi TMB Bank, Benjarong Suwankiri yang mengatakan pembabitan negara ini mampu memperoleh manfaat pelabur luar.

“Malaysia bersedia menerima manfaat daripada pelabur luar yang mencari lokasi untuk mahu bertapak ke Amerika Syarikat dan negara ahli TPPA lain terutama dalam industri elektronik dan komponen automotif,” katanya.

Beliau turut menjangkakan Vietnam menerima manfaat sama dalam peningkatan FDI apabila ia antara 12 negara yang menyertai TPPA paling menarik berdasarkan kos pengeluaran dan intensif tenaga kerja rendah.

“Vietnam mempunyai tenaga kerja muda dan kos buruhnya 50 peratus lebih rendah berbanding Thailand,” kata Benjarong.

Menurut TMB Analytics, meskipun Thailand kekal lokasi menarik untuk pelaburan berdasarkan prasarana dan proses kerajaan lebih baik, marginnya semakin berkurangan dari setahun ke setahun.

FDI Thailand lebih dua kali ganda berbanding Malaysia pada 2005, namun Malaysia berupaya memintas negara gajah putih itu jika menyertai TPPA bersama Singapura, Brunei dan Vietnam di Asia Tenggara.

“TPPA akan memaksa Thailand bersaing untuk pelaburan asing di dua perkara iaitu rantaian bekalan dengan Malaysia serta kos buruh dengan Vietnam,” katanya.

Beliau juga menjangkakan perubahan pelaburan dari China ke Malaysia dan Vietnam lebih baik berbanding Thailand apabila China menjadi pengeksport utama bagi Amerika Syarikat.

FDI di Malaysia meningkat kepada RM477.4 bilion pada suku kedua 2015 daripada RM475.7 bilion pada suku pertama.

Paras pelaburan antarabangsa bersih Malaysia mencatat kedudukan aset bersih sebanyak RM33.9 bilion pada suku kedua daripada liabiliti bersih RM1.2 bilion yang dicatat pada akhir suku pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 6:19 AM