Remaja yang nyaris diculik (kanan), semalam. FOTO ihsan pembaca
Remaja yang nyaris diculik (kanan), semalam. FOTO ihsan pembaca
Oleh Nabihah Kamal


Rawang: Remaja lelaki berusia 13 tahun nyaris menjadi mangsa culik dalam kejadian di Bandar Tasik Puteri, di sini, semalam.

Dalam kejadian 7.10 malam, remaja itu pada mulanya bermain basikal di kawasan perumahan berkenaan sebelum terdengar suara lelaki memanggilnya.

Menurut datuk mangsa, Roshmi Ahmad,58, cucunya yang tinggal berhampiran dengan rumahnya itu memberitahu, lelaki tidak dikenali yang menaiki van hitam itu kemudian mendekatinya dan menarik cucunya ke dalam van berkenaan.

"Bagaimanapun, cucu saya melawan sehingga bajunya terkoyak dan berjaya melepaskan diri sebelum ke rumah rakannya untuk meminta bantuan," katanya.

Menurutnya, dia bersama bapa mangsa membawa mangsa yang trauma membuat laporan polis di Balai Polis Tasik Puteri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian dan pihaknya masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 365/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan culik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 10:44 PM