Coe harap kerajaan mengenal pasti, memanfaatkan dan menggunakan sukan dengan cara betul. - Pix Ibtimes
Coe harap kerajaan mengenal pasti, memanfaatkan dan menggunakan sukan dengan cara betul. - Pix Ibtimes

Kuala Lumpur: Sukan mampu membantu kerajaan dan pertubuhan mencapai cita-cita dan objektif masing-masing, kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik London 2012, Sebastian Coe.

Dalam ucaptama pada Forum Transformasi Global (GTF) di sini hari ini, Coe berkata antara cabaran paling besar yang dihadapi masyarakat seluruh dunia ialah ketiadaan penglibatan dalam acara sukan yang boleh membantu mereka mencapai cita-cita negara.

"Sukan mampu memberi kesan yang sangat besar hampir di segenap peringkat. Saya harap kerajaan dapat mengenal pasti, memanfaatkan dan menggunakan sukan dengan cara yang betul dan lebih giat bagi membantu mencapai sebahagian daripada cita-cita pendidikan dan negara.

"Ingatlah bahawa menjelang 2030, separuh daripada penduduk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat, China dan Brazil akan menjadi tidak aktif dari segi fizikal.

"Ini bukan hanya dari segi kesihatan awam, tetapi juga dari segi cukai yang dibelanjakan, bagaimana kita merancang dan membina landskap kita, ruang kebebasan bagi kehidupan, penglibatan dengan anak muda, melakukan perjalanan dengan lebih selamat dan menjadi lebih produktif," katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Gabungan Kemenangan' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Coe selaku Presiden Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) adalah pemenang pingat emas Sukan Olimpik 1980 dan 1984 dalam acara 1,500m dan mencipta beberapa rekod dunia dalam acara 800m dan 1,500m serta antara tokoh utama dalam kejayaan London menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan Paralimpik 2012. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 7:04 PM