SEORANG wanita memerhatikan rumahnya yang musnah akibat Taufan  Koppu di bandar Casiguran  di wilayah Auroran, timur laut Manila.
SEORANG wanita memerhatikan rumahnya yang musnah akibat Taufan Koppu di bandar Casiguran di wilayah Auroran, timur laut Manila.

Cabanatuan: Angka kematian akibat Taufan Koppu di pulau utama Filipina meningkat kepada sekurang-kurangnya 47 orang, kata pegawai semalam.

Taufan berkenaan yang mula melanda timur laut negara itu Ahad lalu juga memaksa lebih 100,000 penduduk kampung mencari tempat perlindungan dan turut memusnahkan sejumlah besar sawah padi yang hanya menunggu masa untuk dituai.

Menurut biro cuaca kerajaan, taufan itu meninggalkan Luzon kelmarin dan semalam berada di Selat Balintang, hujung utara negara itu dengan membawa angin selaju 55 kilometer sejam.

Sekurang-kurangnya 47 orang terbunuh dalam taufan itu, kebanyakannya akibat lemas, dihempap tanah runtuh, pokok tumbang dan runtuhan dinding, kata pegawai pertahanan awam.

Beberapa orang dilaporkan hilang dan lebih 500,000 penduduk terjejas akibat taufan itu.

Anggaran awal kerajaan menunjukkan kerosakan yang berlaku pada pertanian dan infrastruktur mencecah 5.3 bilion peso (RM495 juta). - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 7:01 AM