ZAMANI (kiri) dan abangnya, Zulfazil Ibrahim pada sidang akhbar khas. FOTO Munira Abdul Ghani
ZAMANI (kiri) dan abangnya, Zulfazil Ibrahim pada sidang akhbar khas. FOTO Munira Abdul Ghani
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Zamani Ibrahim, 44, mengakui tindakannya keluar dari Rumah Pengasih kerana dia sudah bersedia menjalani kehidupan normal dan meneruskan kerjaya seninya.

Menurut Zamani, kerjayanya sebagai penyanyi perlu diteruskan dan peluang itu lebih terbuka di luar.

"Saya tak lari dari Rumah Pengasih seperti yang didakwa tapi keluar atas kerelaan sendiri. Saya faham Pengasih cuma menjalankan tanggungjawab mereka mengenai kehilangan saya,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Rumah Pengasih, hari ini.

Zamani turut memaklumkan dia sudah sihat selepas menjalani proses pemulihan selama hampir lapan bulan di situ dan sudah bersedia untuk menjalani kehidupan normal.

Dalam pada itu, Zamani turut menafikan wujud perselisihan faham di antara dia dengan Pengasih berhubung perkara itu.

“Permintaan saya untuk keluar dari Pengasih sudah dibincangkan sebelum ini, tetapi belum ada kata putus. Itulah yang sepatutnya kami selesaikan hari ini seperti diminta Pengasih," katanya yang sudah menjalani proses pemulihan selama hampir lapan bulan di situ.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Datuk Mohd Yunus Pathi Mohd dalam kenyataan medianya enggan mengulas lanjut.

Mohd Yunus berkata, dia cuma mahu memaklumkan kepada masyarakat bahawa Zamani dibawa keluar individu tidak dikenali pada hari kejadian berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat pemulihan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 3:16 PM