Banda Aceh: Masalah bahasa menyebabkan siasatan kejadian rogol tiga wanita pelarian Rohingya di kem penempatan di bandar ini tertangguh, kata polis.

Ketua polis daerah Lhokseumawe, Anang Triarsono berkata, tujuh saksi termasuk seorang wanita disoal siasat, tetapi sehingga kini tiada suspek dikenal pasti.

Bulan lalu, empat wanita dan enam lelaki Rohingya berusia 14 hingga 28 tahun ditahan sekumpulan lelaki tempatan ketika mahu meninggalkan kem penempatan mereka.

Mereka mendakwa kumpulan lelaki bertopeng itu memukul mereka dan merogol tiga wanita termasuk seorang kanak-kanak berusia 14 tahun.

Kejadian itu mencetuskan bantahan lebih 200 pelarian Rohingya yang mengancam meninggalkan kem penempatan di Blang Adoe.

Semua pelarian itu diselamatkan pihak berkuasa Indonesia selepas bot nelayan yang dinaiki mereka hanyut ke perairan Aceh empat bulan lalu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:55 AM