Beirut: Kumpulan penentang Syria termasuk yang paling berpengaruh, Ahrar al-Sham, menggesa negara serantau membentuk pakatan untuk menentang Russia dan Iran di Syria.

Penentang itu, yang termasuk kumpulan yang bernaung di bawah Tentera Pembebasan Syria berkata dalam satu kenyataan, pakatan seumpama itu diperlukan bagi menangani pakatan Russia-Iran yang menduduki Syria.

Empat puluh satu kumpulan yang menandatangani kenyataan itu bagaimanapun tidak termasuk sayap al-Qaeda Syria, Barisan al-Nusra yang bersama-sama Ahrar al-Sham menguasai sebahagian besar Idlib, wilayah di barat laut Syria.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut nama negara yang dicadangkan mengambil bahagian.

Bagaimanapun, Turki, Arab Saudi dan Qatar menyokong gerakan menggulingkan Presiden Syria Bashar al-Assad. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 7:54 AM