SUDAH mencuba yang terbaik dan serahkan kepada peminat untuk menilai.
SUDAH mencuba yang terbaik dan serahkan kepada peminat untuk menilai.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Genap sembilan tahun dalam industri seni, pelakon Sari Yanti tetap selesa dengan apa yang ada sekarang. Baginya, segala-galanya sudah mencukupi dan tidak perlulah dia melakukan perkara di luar jangkaan untuk meraih populariti.

Pelakon bernama sebenar Sari Yanti Mohamad Nazari, 31, ini juga mengakui pembabitannya dalam bidang lakonan berlaku tanpa dijangka. Justeru dia boleh berbangga dengan apa yang dikecapi kini.

“Tak dinafikan siapa yang tak nakkan kejayaan dan populariti, tetapi, sejujurnya saya tak ghairah nak mengejar itu semua. Ini disebabkan latar belakang saya sendiri yang bukan daripada sekolah teater atau pengajian berkaitan seni.

“Kalau diimbas kembali, pembabitan sebagai pelakon pun berlaku secara bidan terjun. Tak semena-mena saya dipanggil berlakon dan terus mencipta populariti menerusi siri drama Kisah Kaisara.

“Diikutkan berlakon memang seronok. Namun, saya tak alpa apabila ambil peluang menjana pendapatan menerusi bidang seni. Saya belajar Diploma Pengajian Perniagaan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan sekarang menghasilkan drama di bawah produksi sendiri, Apna Production Sdn Bhd,” katanya yang hadir ke Balai Berita, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 6:37 AM