Anggota CNBLUE, Jung Yong Hwa ‘buka mulut’ mengenai situasinya berdepan peminat ‘sasaeng’ yang terlalu obses dengan kehidupan selebriti.

Dalam status Twitter terbarunya, dia akui agak terganggu untuk berkongsi sesuatu mengenai isu peminat dan artis.

“Saya faham cinta kalian pada saya dan sangat bersyukur. Tapi saya harap jangan sampai menceroboh rumah saya. Ibu bapa saya terkejut bila mereka datang ke sini untuk Chuseok.

“Ini kali pertama saya tulis mengenai isu ini. Maaf kerana berkongsi pada lewat malam,” tulisnya.

Kenyataan peribadi Jung Yong Hwa susulan insiden ada peminat menceroboh rumah aktor Jo In Sung dan menimbulkan kekecohan.

Pada 30 September lalu, polis Seoul menangkap seorang rakyat China berusia 31 tahun kerana memecah masuk dan menceroboh rumah Jo In Sung.

Menurut sumber, peminat itu pecah masuk ke rumah Jo In Sung sekitar jam 12.20 pagi dengan cara buat bising di depan rumahnya.

Selepas menjerit di luar pintu, individu itu terus meluru masuk sebaik saja pintu rumah dibuka untuk diperiksa. Individu itu enggan keluar dari rumah sehingga keluarga Jo In Sung terpaksa memanggil polis.

Ketika disoal siasat, individu itu mendakwa meminati Jo In Sung sejak dua tahun lalu. Dia masuk ke dalam rumah selepas pintu dibuka dan mengalami lebam di tangan kerana keluarga Jo In Sung cuba menghalaunya keluar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:02 AM