KEMAS anyaman dilakukan pada gelang.
KEMAS anyaman dilakukan pada gelang.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Mesra alam selain tampil dengan rekaan menarik antara keunikan produk aksesori rantai tangan dihasilkan Husna Nabila Badarolzaman serta Putera Mohamed Abid.

Dua rakan itu berkebolehan dalam menganyam gentian dihasilkan sepenuhnya daripada tumbuhan dipanggil ‘hemp’ hingga menjadi aksesori ranggi pada pergelangan tangan.

Menurut Husna, produk berkenaan dipasarkan menerusi butik dalam talian, Kraftangan Hemp mendapat sambutan sangat menggalakkan terutama dalam kalangan peminat aksesori terutama gadis muda.

“Rekaan cukup minimalis tetapi ranggi membuatkan ramai remaja gemarkan rekaan ini. Tambah pula material kami gunakan sepenuhnya daripada bahan semula jadi sesuai buat pemakai selektif seperti mempunyai masalah kulit mahupun pencinta alam tertarik mengenakannya.

“Hemp nama tumbuhan kami gunakan ialah sejenis spesies kanabis tidak mengkhayalkan dan sesuai untuk tujuan kraftangan serta kecantikan. Tambah eksotik apabila kami gabungkan elemen tambahan seperti ukiran kayu atau biji tumbuhan tertentu sebagai perincian.

“Kami teruja dapat menghasilkan lebih 20 rekaan untuk dipilih pelanggan. Selain itu kami sarankan tempahan dibuat kerana saiz ukur lilit cukup penting dalam menentukan sama ada gelang itu muat dipakai pembeli,” katanya.

Selain gelang, Husna berkata kraftangan hemp turut menghasilkan cincin daripada material sama. Bonus material ini tahan lasak dan mudah disimpan.

Bagi yang berminat boleh melayari laman Instagram @kraftanganhemp.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:01 AM