Kemalangan yang mengorbankan seorang lelaki. FOTO ihsan bomba
Kemalangan yang mengorbankan seorang lelaki. FOTO ihsan bomba
Oleh Ibrahim Isa


Ledang: Seorang lelaki maut, isterinya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu terbabas dan terbalik di Kilometer 147 Lebuhraya PLUS arah Selatan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa Lam Yong Heng, 40-an, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahman Jaapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.07 petang dan satu jentera dengan lima anggota ke lokasi.

"Apabila tiba kami dapati ada berlaku kemalangan dan pemandu pacuan empat roda dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di laluan bertentangan.

"Mangsa dipercayai maut di tempat kejadian, manakala isterinya cedera dan dihantar ke Hospital Tangkak untuk dirawat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 7:52 PM