TEMPAT mayat  dijumpai.
TEMPAT mayat dijumpai.

Phnom Penh: Polis Kemboja berusaha mengesan identiti seorang lelaki kulit putih yang dijumpai dalam beg pakaian yang dicampak ke dalam terusan.

Beg kain itu dibalut pita pelekat dengan kepala mangsa dapat dilihat terkeluar daripadanya.

Jurucakap polis tempatan, Soum Sophat berkata, Lelaki yang beruban itu memakai kemeja-T dan seluar pendek, dipercayai berbangsa Eropah berusia sekurang-kurangnya 40 tahun.

Dia mati akibat kecederaan teruk di kepala, dipercayai akibat dipukul dengan besi atau kapak. Mayatnya menunjukkan kesan kecederaan teruk, termasuk di kepala serta badan selain luka dan lebam pada wajahnya.

Mayat itu ditemui nelayan yang menangkap udang di wilayah Kep selepas beg itu terdampar di tebing terusan berhampiran paya bakau, tidak jauh dari sempadan Vietnam.

Polis berkata, nelayan berkenaan terkejut melihat beg berkenaan sebelum dua daripada mereka berenang ke arahnya dan melihat kepala lelaki terbabit terjulur.

“Rahang kirinya patah dan lengan kirinya cedera teruk, seolah-olah mangsa mengangkatnya untuk mempertahankan diri ketika dipukul.

“Kami berpendapat suspek membuat perancangan teliti untuk membunuh mangsa kerana telinganya turut ditutup menggunakan penyumbat telinga plastik untuk mengelak cecair badannya keluar menerusi organ berkenaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Brigadier Jeneral Eng Somoi berkata pihaknya belum mengenal pasti identiti mangsa.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui padanya. Kami cuma tahu dia lelaki Kaukasia yang dibunuh, tetapi tiada cara lain untuk mengenal pasti identitinya.

“Yang kami pasti dia tidak tinggal di kawasan ini,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:48 AM