SIAPA kata produk universiti tempatan tidak mampu menunjukkan kecemerlangan kerana sudah banyak kejayaan diraih golongan itu. - Gambar hiasan
SIAPA kata produk universiti tempatan tidak mampu menunjukkan kecemerlangan kerana sudah banyak kejayaan diraih golongan itu. - Gambar hiasan
KEUPAYAAN menjana kecemerlangan bergantung kepada kehendak individu, bukan paksaan pihak universiti. - Gambar hiasan
KEUPAYAAN menjana kecemerlangan bergantung kepada kehendak individu, bukan paksaan pihak universiti. - Gambar hiasan
MASYARAKAT perlu memberi kepercayaan kepada siswa kerana mereka juga berusaha memberikan yang terbaik kepada negara. - Gambar hiasan
MASYARAKAT perlu memberi kepercayaan kepada siswa kerana mereka juga berusaha memberikan yang terbaik kepada negara. - Gambar hiasan
BANYAK peluang diberikan kepada siswa untuk mereka membantu meninggikan akhlak termasuk hingga ke peringkat antarabangsa. - Gambar hiasan
BANYAK peluang diberikan kepada siswa untuk mereka membantu meninggikan akhlak termasuk hingga ke peringkat antarabangsa. - Gambar hiasan
SISWA boleh mengimplementasi penggunaan 2A iaitu akademik dan akhlak untuk membantu membentuk kecemerlangan diri. - Gambar hiasan
SISWA boleh mengimplementasi penggunaan 2A iaitu akademik dan akhlak untuk membantu membentuk kecemerlangan diri. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin

Kisah berkenaan siswa sering kali mencuri perhatian, apatah lagi jika membabitkan isu panas atau polemik yang berlaku dalam lingkungan masyarakat.

Dianggap sebagai aset penting negara, golongan itu dilabel dengan pelbagai andaian dan persepsi oleh pihak yang mahu melihat sejauh mana mereka boleh mendukung wawasan kesinambungan sedia ada.

Aspek kecemerlangan dan kejayaan antara yang amat diintai masyarakat bagi menentukan sama ada golongan itu boleh menjadi ikon bakal cendekiawan.

Begitupun, masih ada pihak kurang yakin dan mempertikaikan kemampuan siswa untuk bersaing dalam dunia pekerjaan yang penuh cabaran.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, bagi membuktikan siswa mampu membentuk kecemerlangan diri, mereka perlu mendukung mekanisme 2A iaitu akademik dan akhlak.

Menurutnya, menerusi 2A golongan itu mampu fokus dalam proses penjanaan ilmu, sekali gus membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka produk berjaya yang dihasilkan daripada institusi pengajian tinggi (IPT).

“Tiada isu yang menyatakan kualiti siswazah kita tidak setara dengan penjanaan kecemerlangan disasarkan kerana aspek itu definisinya bersifat subjektif.

“Mengaitkannya dengan senario semasa kononnya siswa kita tiada kebolehan boleh dianggap sekadar persepsi.

“Kita ada senarai panjang mereka yang berjaya. Justeru, bagaimana boleh mendakwa golongan itu kurang kualiti, kurang cemerlang dan sebagainya?” katanya.

Dr Mohammad Shatar berkata, persepsi itu mungkin wujud apabila masyarakat disogokkan dengan pelbagai andaian atau mengaitkannya dengan senario tertentu walaupun tidak disokong dengan bukti atau hasil kajian.

“Apabila ramai berterusan memberikan persepsi itu, dari segi psikologi ia boleh menimbulkan impak kepercayaan.

“Lama-kelamaan ia sukar dikikis hingga mewujudkan kesan dan konflik tidak berkesudahan kerana persepsi sama sentiasa diulang.

“Padahal apa yang berlaku mungkin sudah berubah menerusi penambahbaikan yang dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, persepsi masyarakat yang melabelkan siswazah universiti tempatan antara paling sukar memperoleh pekerjaan kerana kurang kemahiran diri.

“Persepsi ini sudah lama wujud kerana masyarakat sering disogokkan dengannya sedangkan situasi sebenar bukan begitu.

“Saya tak kata masalah itu (pengangguran) langsung tidak wujud tapi pada masa sama, masyarakat perlu faham mengapa ia berlaku.

“Banyak faktor menyebabkan siswazah kita menganggur seperti kelembapan ekonomi dunia, sikap suka memilih kerja, tidak berminat, gagal berkomunikasi dengan baik dan sebagainya,” katanya menegaskan faktor berkenaan perlu diambil kira sebelum menjatuhkan hukuman kepada pihak lain.

“Menjana kecemerlangan untuk siswa di universiti bukan mudah, namun universiti akan sehabis daya memberikan yang terbaik kepada masyarakat.

“Tetapi sikap terlalu cepat menghukum universiti dan pihak lain tanpa memahami keadaan sebenar adalah tindakan tidak beretika,” katanya.

Beliau turut menyangkal faktor keupayaan sesebuah institusi menjadi nilai kepada seorang siswazah yang dilahirkan.

“Saya tak setuju dengan dakwaan itu kerana kemasukan seseorang siswa ke universiti perlu memenuhi pelbagai syarat ditetapkan terutama bagi universiti awam (UA).

“Keupayaan menjana kecemerlangan dan kejayaan bergantung kepada kehendak individu itu sendiri. Institusi memberi kemudahan sama rata kepada mereka dan terpulang bagaimana mahu menggunakannya,” katanya.

Beliau berharap apa saja isu bersifat polemik dihindarkan bagi memberi peluang kepada siswa menjana kecemerlangan pengajian.

“Isu sedia ada tidak seharusnya dijadikan ejen untuk mengganggu tumpuan dan keutamaan siswa terhadap matlamat asal memasuki universiti.

“Paling utama, bagaimana mereka menggunakan aspek akademik dan sahsiah diri untuk membantu sepanjang tempoh pengajian mahupun selepas itu.

“Amat penting untuk menggunakan kesempatan selama empat tahun diberikan ini bagi melengkapkan diri dengan keperluan semasa yang lebih mencabar di luar tembok universiti,” katanya.

Dr Mohammad Shatar berkata, Indeks Kesediaan Pelajar Menghadapi Cabaran Persekitaran Selepas Bergraduan boleh diperkenal dan digunakan institusi untuk mengetahui sejauh mana keberhasilan siswa selepas menamatkan pengajian.

“Indeks ini boleh dijadikan mekanisme untuk mengukur tahap kemampuan graduan kita, sekali gus membenar atau menidakkan persepsi dilemparkan.

“Semua pihak perlu saling menyokong terutama ibu bapa dan masyarakat. Sokongan ini penting bukan saja sebagai tanda kepercayaan, malah memberi semangat kepada golongan itu untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:16 AM