Oleh Adnan Mohamad


Kota Bharu: Seorang warga emas berusia 69 tahun cedera di bahu kiri selepas ditikam seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di Kampung Telipot, Jalan Sultan Yahya Petra, di sini kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Difahamkan, lelaki itu memasuki rumah mangsa menerusi pintu belakang yang tidak berkunci.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, sebelum kejadian, mangsa mendengar bunyi dari belakang rumahnya dan mahu membuat pemeriksaan.

"Mangsa keluar dari bilik tidurnya, namun sebaik pintu dibuka, suspek sudah bersedia di depan pintu dan kemudian menikam mangsa di bahu kiri menggunakan pisau.

"Mangsa kemudian ditinggalkan dengan pisau masih tertusuk di bahu kiri. Suspek kemudiannya melarikan diri," katanya.

Rohaimi berkata, mangsa dibantu jiran yang mendengar jeritannya dan dia dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.

Suspek masih diburu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 2:51 PM