Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seorang penganggur berusia 32 tahun yang menikam dan mencederakan dua lelaki kerana berang dituduh mencuri angsa di Bachok, minggu lalu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini.

Majistret Mohd Isa Mohamed bagaimanapun menetapkan 17 Disember depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Mohd Ridzuan Abu Hanifah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Ridzuan didakwa mencederakan Saruan Mohd Noor, 35, dan Nor Azizan Che Said, 33, dengan golok di sebuah rumah tanpa nombor di Gunong, Bachok pada jam 1.30 petang 8 November 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 1:17 PM