KHALED dulu (kiri) dan sekarang .
KHALED dulu (kiri) dan sekarang .

Riyadh: Seorang remaja Saudi berusia 17 tahun yang didakwa antara lelaki paling gemuk di dunia pada 2013 berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 480 kilogram sejak diangkut keluar dari rumahnya untuk menjalani rawatan di hospital dua tahun lalu.

Khaled Al Shaeri diterbangkan dari kediamannya di Jazan, wilayah di selatan Arab Saudi ke Pusat Perubatan Raja Fahd di Riyadh pada Ogos 2013 selepas keadaannya bertambah buruk dengan berat badannya terus meningkat.

Ia mencecah 610 kilogram pada tahun itu.

Akhbar Sada semalam memetik doktor sebagai berkata, Khaled kini mempunyai berat badan 120 kilogram, kurang 490 kilogram dalam masa dua tahun selepas mengikuti program perubatan yang dimulakan beberapa hari selepas dia dimasukkan ke hospital itu.

“Dia sihat sekarang selepas turun kepada 120 kilogram. Dia boleh bergerak dengan lebih baik dan akan pulang ke rumahnya untuk menjalani kehidupan biasa,” kata Dr Ahmed Hikmi, ketua pasukan perubatan yang merawat Shaeri.

Pasukan pertahanan awam dan perubatan menggunakan kren dan katil khas yang diimport dari Amerika Syarikat untuk memindahkan Khaled ke hospital atas arahan Raja Abdullah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 7:47 AM