AFP

New York: Hanya enam lelaki dalam sejarah tenis memenangi lebih banyak Grand Slam berbanding Novak Djokovic (gambar), yang menjulang gelaran utama ke-10 semalam dengan menewaskan Roger Federer pada final Terbuka Amerika Syarikat.

Djokovic pemain nombor satu dunia menewaskan pemain nombor dua dunia dari Switzerland 6-4, 5-7, 6-4, 6-4 untuk menjuarai Grand Slam ketiganya tahun ini dan meletakkan dirinya dalam kelompok elit sukan berkenaan, serta peluang mengatasi rekod 17 gelaran Grand Slam individu dimenangi Federer.

“Kami melepasi dua angka dan saya terharu dan bangga menjadi sebahagian kelompok pemain elit, legenda sukan yang berjaya memenangi banyak trofi Grand Slam sepanjang hayat dan karier mereka,” kata Djokovic.

“Menjadi sebutan seperti mereka sesuatu yang istimewa.”

Rafael Nadal dan Pete Sampras berkongsi tempat kedua dengan 14 gelaran sementara Roy Emerson memiliki 12 gelaran manakala Rod Laver dan Bjorn Borg meraih 11 gelaran, sesuatu yang tidak mustahil mampu dicapai Djokovic selepas ini.

“Saya berusia 28 tahun. Saya sentiasa menjaga tubuh dan minda saya,” kata Djokovic.

“Saya akan terus menjalani gaya hidup seperti ini. Saya harap pendekatan ini akan memanjangkan karier saya, justeru saya boleh beraksi lebih lama dan lebih banyak peluang untuk berjuang mendapatkan trofi.”

Memenangi tiga Grand Slam pada tahun sama sesuatu yang sukar buat Djokovic buat kali kedua tetapi bintang Serbia itu mendapati kejayaan itu lebih memuaskan.

Bersama trofi Terbuka Australia dan Wimbledon, Djokovic menyamai pencapaian musim 2011 dengan memenangi tiga Grand Slam yang sama.

“Ternyata lebih sukar mengulangi sesuatu seperti itu daripada melakukannya buat kali pertama,” kata Djokovic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 5:54 AM