PANDANGAN dari Jambatan Sultan Mahmud ke Bukit Besar tidak jelas akibat keadaan berjerebu. FOTO Imran Makhzan
PANDANGAN dari Jambatan Sultan Mahmud ke Bukit Besar tidak jelas akibat keadaan berjerebu. FOTO Imran Makhzan
Oleh Isma Ismail


Kuala Terengganu: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kemaman mencatat bacaan tidak sihat iaitu 118 pada 11 pagi tadi.

Bacaan di Paka juga sudah hampir mencecah kepada udara tidak sihat apabila mencatatkan 94.

Bacaan IPU tidak sihat berkenaan meningkat berbanding 6 pagi apabila bacaan di Kemaman mencatatkan 103 dan Paka(84).

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar, bacaan di Kuala Terengganu pula berada dalam keadaan baik apabila mencatatkan 45.

Bacaan IPU baik adalah dari 0-50, manakala sederhana (50-100) dan tidak sihat ialah daripada 100 sehingga 200.

Berdasarkan laman web berkenaan, orang ramai yang berada di kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat disarankan agar mengurangkan aktiviti luar termasuk memakai topeng muka sekiranya berada di luar bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 1:44 PM