PASUKAN Kumbang A bergambar kenangan bersama guru dan jurulatih serta piala dimenangi.
PASUKAN Kumbang A bergambar kenangan bersama guru dan jurulatih serta piala dimenangi.
Oleh Mohd Hafiz Abu Hassan

Yan, Kedah: Pasukan Kumbang A muncul juara acara futsal padang Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS Peringkat Daerah Yan dan Program Pencegahan Jenayah PDRM serta Sambutan Hari Kebangsaan 2015 selepas berjaya membenam cabaran pasukan Kucing pada perlawanan akhir di padang Awam Guar Chempedak, baru-baru ini.

Kumbang A terdiri daripada Tabika KEMAS Kampung Kolam 1 & 2, Batu 14 & Batu 18 memperoleh gol tunggal menerusi penentuan sepakan penalti disempurnakan penjaga gol, Muhammad Aidil Rafiq Mohd Hafiz (gambar kecil) selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Perlawanan akhir itu dikuasai sepenuhnya Kumbang A namun taktik bertahan dipraktikkan pasukan Kucing berjaya mematahkan serangan Kumbang A sekali gus memaksa juara ditentukan menerusi tendangan penalti.

Jurulatih Kumbang A, Mohd Hafiz Abu Hassan terlalu gembira dengan kejayaan itu.

“Saya amat puas hati dengan komitmen dan semangat ditunjukkan pemain yang rata-rata berusia enam tahun,” jelasnya.

Hadiah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Hadir sama Ketua Polis Daerah Yan, DSP Muhamad Halim Yatim, Penolong Pengarah KEMAS Negeri Kedah, Hussin Sidek, Pegawai KEMAS Daerah Yan, Mohd Hanafi Abd Muttalib dan Penyelia Pra-Sekolah KEMAS Daerah Yan, Zainab Awang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:09 AM