KAPSUL bawa Zamarul kembali ke layar perak selepas Kerat 14.
KAPSUL bawa Zamarul kembali ke layar perak selepas Kerat 14.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Kali terakhir aktor Zamarul Hisham, 44, muncul di layar perak melalui filem Kerat 14 dan kini kembali dengan Kapsul yang menjengah pawagam pada 17 September ini.

Zamarul yang juga kembali bersatu dengan Diana Rafar baru-baru ini akui teruja biarpun diikutkan babak lakonannya hanya pada zaman awal kewujudan FELDA.

Pun begitu katanya, dia tertarik menjayakan Kapsul kerana nilai sejarah yang wujud menjadi satu nilai tambah kepada tarikan penting filem itu.

“Untuk filem ini, saya terpaksa mengikut lenggok Faizal. Maknanya, dari segi pergerakan, intonasi dan sehingga cara dia berjalan, saya perlu ikut. Sebab itu, saya banyak berbincang dan bekerja rapat dengan Faizal.

“Itu antara cabaran untuk saya menjayakan Kapsul kerana Faizal ‘masuk’ ke dalam tubuh saya dan karakter saya berubah mengikut karakternya,” kata Zamarul.

Cabaran itu dianggap payah kerana dia terpaksa mengikut karakter orang yang ada di depan mata. Katanya, ia berbeza dengan karakter ciptaan atau telah tiada kerana pelakon boleh melakukan interpretasi mengikut kehendak sendiri dan pengarah.

“Dari segi lenggok, tidak terlalu payah cuma pergerakan badan saja kena ikut betul-betul terutama pada ekspresi wajah,” katanya.

Biarpun Zamarul tidak terbabit dalam keseluruhan tempoh penggambaran, dia tetap berpuas hati kerana semua pelakon terbabit memberikan komitmen sepenuhnya.

Malah tiada perbezaan taraf atau siapa lebih hebat wujud dalam set kerana masing-masing tahu kehendak dan tanggungjawab masing-masing.

“Kostum juga banyak membantu menghidupkan jalan cerita serta ‘mood’ zaman dulu. Kalau lihat pada skrip Kapsul, ia sebenarnya ringan tapi menjadi berat kerana perlu membawa watak zaman dulu.

“Saya tertarik dan terus bersetuju berlakon sebab penulis skripnya adalah Allahyarham Martias dan arwah mempunyai impian yang cukup besar untuk filem ini,” katanya sedih dengan pemergian pengarah itu akibat kanser.

Faktor lain mendorong Zamarul bersetuju untuk beraksi dalam Kapsul ialah kerana Faizal Hussein yang juga sahabatnya dalam industri.

Apatah lagi, mereka pernah bekerja sama dalam beberapa projek drama sedari tahun 90-an sehingga kini.

Kata Zamarul, selain faktor itu Kapsul ada kelainan sendiri kerana boleh diterima semua golongan penonton. Kemampuan kesan khas CGI juga cukup mengujakannya dan sangat ditunggu-tunggu.

“Kapsul ada nilai sejarah sendiri dan pastinya ia bukan perkara mudah kerana perlu rujukan yang kuat. Paling penting kerana kerjasama barisan pelakon yang memberi komitmen 100 peratus,” katanya gembira.

Mengenai dirinya kurang berlakon filem, Zamarul yang pernah menang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18) melalui filem Di Ambang Misteri pada 2004, akui sibuk menjalani penggambaran drama menyebabkan kurang muncul dalam filem.

“Selepas menang di FFM18, saya ada terfikir untuk memberi tumpuan pada tawaran filem. Tapi kerana tawaran drama, saya ambil. Dalam menjayakan lakon drama, tawaran filem datang. Malangnya masa tidak kena dan ada tawaran terpaksa saya tolak,” katanya.

Zamarul juga mempunyai impian sama seperti pelakon seangkatannya mahu memecah tradisi corak perfileman tempatan dengan meletakkan hero berusia 40-an di barisan hadapan seperti yang wujud di industri filem luar.

Katanya, dia bangga apabila ada beberapa filem tempatan memberi ruang itu kepada pelakon seusia­nya mengemudi jalan cerita seperti Faizal yang sering diangkat sebagai hero dalam filem terbarunya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:03 AM