NIK Michael bangga dapat kepercayaan daripada AFC.
NIK Michael bangga dapat kepercayaan daripada AFC.
Oleh Georgie Joseph

Berbekalkan kesungguhan, minat mendalam, usaha keras dan cita-cita tinggi, tidak mustahil seseorang boleh mencapai impian masa kecilnya di masa hadapan.

Itu yang berlaku kepada chef selebriti terkenal, Nik Michael Imran apabila mendapat peluang keemasan mengemudi rancangan Cooking for Love di saluran Asian Food Channel atau AFC (Astro 703).

Mula bersiaran pada 8 September ini, setiap Selasa, jam 10 malam, Nik akan berganding dengan suri rumah juga pakar memasak, Sarah Benjamin.

Matlamatnya hanya satu iaitu mencipta resipi masing-masing untuk dihidangkan kepada pelanggan berbeza dalam setiap episod.

Nik yang teruja dengan pemilihannya itu berkata, dia amat bangga apabila diberi kepercayaan oleh AFC.

Mana tidaknya, sejak meminati bidang kulinari dia bercita-cita mempunyai program sendiri di saluran terkenal itu.

“Saya membesar dengan menonton rancangan masakan di saluran itu. Semua orang tahu AFC ialah antara saluran masakan yang besar pengaruhnya. Lagipun, konsep program Cooking for Love ini lain daripada yang saya pernah buat sebelum ini,” katanya yang menyertai program realiti Masterchef Malaysia musim pertama.

Bercerita lanjut mengenai program itu, Nik berkata, kepuasan yang dialaminya cukup berbeza.

Dia bukan saja diberikan kuasa penuh dalam aktiviti masakannya, tetapi bekerja dengan Sarah juga satu pengalaman baru.

“Saya tidak pernah terbabit dengan program berkonsep sebegitu. Ia bukan satu pertandingan meskipun saya dan Sarah kena pastikan siapa boleh menyediakan masakan paling memuaskan.

“Kami perlu meneliti pelbagai aspek setiap kali menyediakan masakan buat tetamu setiap episod. Bagaimanapun, tiada konsep siapa kalah, siapa menang, yang penting hasil akhir nanti sama ada tetamu berkenaan puas atau tidak.

“Paling penting, dapat bekerja dengan Sarah buat pertama kali sangat membuka mata. Maklumlah, dia suri rumah dan banyak perbezaan antara kami termasuk cara masakan, bahan-bahan dan sebagainya namun perbezaan perspektif itu banyak mengajar saya perkara baru,” katanya.

Belum berminat ceburi bidang seni

Melihat kepada penerimaan peminat terhadapnya dan dia sendiri memiliki wajah komersial, tidakkah terdetik Nik untuk cuba berlakon?

Menurut Nik, dia tidak boleh berenggang dengan bidangnya sekarang kerana hidupnya kini banyak ditumpukan kepada perniagaan restoran dan program masakan.

“Saya tidak mahu guna nama sebagai tiket untuk suka-suka menjadi pelakon sedangkan ramai lagi yang lebih berbakat.

“Tukang masak ini lain. Kami sangat mementingkan kesempurnaan dalam apa saja yang kami lakukan. Disebabkan itu, saya tiada hati pun hendak melakukan sesuatu yang bukan bidang saya buat masa ini.

“Kalau betul pun terbuka hati suatu hari nanti, saya akan mulakan dalam bidang teater dulu. Dari situ boleh belajar menjadi lebih bagus. Tak mahulah bila orang lain yang bersungguh-sungguh dan kerja keras, orang lain pula senang-senang dapat peluang,” katanya yang juga pemilik restoran PickNik.

Selain Cooking for Love, Nik bakal terbabit dalam sebuah lagi program masakan yang masih dalam perbincangan sekarang ini.

Istimewanya, dia bakal berganding dengan bapanya sendiri dalam program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:02 AM